suria

Zahid Sasar Peningkatan 1,000 Peserta DSA 2014

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mensasarkan jumlah penyertaan pada pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) pada 2014 akan meningkat kepada 1,000 peserta daripada syarikat pertahanan tempatan dan luar negara.

Beliau berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan sambutan DSA 2012 yang menyaksikan 850 peserta mengambil bahagian pada pameran dwi tahunan yang bermula 16 April itu dan berakhir pada Khamis.

"Sasaran itu akan menjadi sasaran saya dan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) kami untuk dapatkan 1,000 peserta pada DSA 2014," katanya ketika berucap pada majlis penutup DSA 2012, di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, Khamis.

Sepanjang pameran DSA itu, sebanyak 15 kontrak perolehan bekalan senjata, kelengkapan dan memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM4.76 bilion dimeterai.

Daripada RM4.76 bilion itu, kontrak bernilai RM357.2 juta dianugerah kepada lima syarikat tempatan dan sebuah dari luar negara iaitu, Russia.

DSA 2012 berjaya menarik penyertaan 25 pavilion kumpulan negara termasuk Australia, Austria, Bosnia, Brazil, Bulgaria, Kanada, China, Republik Czech, Finland, Perancis, Jerman, Itali, Norway, Pakistan, Poland, Rusia, Slovakia, Korea Selatan, Afrika Selatan, Sweden, Switzerland, Turki, UK, Ukraine, Amerika Syarikat dan Malaysia. - BERNAMA

Artikel Lain