suria

Polis Temui Seorang Lagi Bayi Dijual Sindiket

KLANG: Polis menemui seorang lagi bayi yang dijual oleh sindiket penjualan bayi yang ditumpaskan dalam operasi di sebuah restoran di Bukit Tinggi pada 6 April lepas.

Ketua Polis Daerah Klang ACP Mohamad Mat Yusop berkata bayi berusia lima bulan itu dikenali sebagai Zachary Vishal Issac Ganapathy ditemui di sebuah rumah di Apartment Perdana Villa, di sini kira-kira 5.45 petang semalam.

Beliau berkata bayi lelaki itu merupakan anak kepada suspek iaitu seorang wanita yang ditahan di Tanjung Sepat, Banting pada Isnin lepas.

"Bayi berkenaan ditemui bersama pasangan suami isteri yang lengkap dengan dokumen pendaftaran hasil daripada soal siasat yang dijalankan ke atas suspek yang ditahan sebelum ini," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Isnin lepas, polis menahan seorang wanita tempatan berusia 34 tahun dipercayai anggota sindiket terbabit.

Dalam operasi 6 April lepas, polis menahan empat wanita termasuk seorang wanita Singapura berusia 37 tahun yang kudung kaki kiri dan dipercayai dalang sindiket berkenaan serta menyelamatkan dua bayi lelaki masing-masing berumur 22 hari dan tiga bulan.

Siasatan awal mendapati bayi tersebut dijual dengan harga antara RM6,000 hingga RM28,000 setiap seorang berdasarkan warna kulit, bentuk wajah dan tahap kesihatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain