suria

Malaysia - Kazakhstan Kenal Pasti Bidang Utama Untuk Rancakkan Kerjasama Dua Hala

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev telah mengenal pasti beberapa bidang ekonomi baharu untuk merancakkan lagi hubungan dagangan dua hala antara kedua-dua negara.

"Kami telahpun mengenal pasti peluang-peluang khusus dan kerjasama hebat antara kedua-dua negara," kata beliau dalam persidangan akhbar bersama dengan Nazarbayev selepas mesyuarat delegasi Malaysia-Kazakhstan di sini, Rabu.

Walaupun perdagangan dua hala pada masa ini iaitu US$60 juta akan lambat laun akan meningkat, beliau berkata ia tidak mencerminkan potensi meluas yang wujud antara kedua-dua negara.

Tahun lepas, jumlah dagangan antara kedua-dua negara ialah US$61.1 juta (RM183.3 juta) dengan import Malaysia berjumlah sehingga US$1 juta (RM3 juta), sementara eksport pula US$60.1 juta (RM180.3 juta).

"Presiden (Nazarbayev) telah menunjukkan beberapa bidang khusus yang syarikat Malaysia boleh tinjau untuk peluang-peluang baharu iaitu dalam bidang lapangan minyak dan gas, pembinaan, yang termasuklah lebuhraya, hospital, pembangunan infrastruktur, pembinaan dan pengurusan lapangan terbang," kata beliau.

Beliau juga berkata peluang-peluang lain termasuklah teknologi maklumat, pembangunan kemudahan perindustrian, perkhidmatan kewangan, perbankan perbankan Islam, pendidikan dan carigali mineral.

"Kami juga maklum akan keinginan besar Nazarbayev untuk Malaysia membina bangunan-bangunan reka bentuk Malaysia di Astana (ibu negara Kazakhstan), tambah beliau.

Nazarbayev berkata Kazakhstan telah melaksanakan program untuk menjadikan ekonominya lebih inovatif dan mengalu-alukan syarikat Malaysia untuk menyertai dalam program itu.

"Kami memang serius untuk menjadikan ekonomi kami lebih inovatif dan kami kini sedang membina 200-300 kemudahan perindustrian baharu setiap tahun di Kazakhstan dan menjelang 2020, kami telah melabur US$50 bilion untuk program ini.

"Ini merupakan peluang yang baik untuk syarikat-syarikat Malaysia meninjau peluang-peluang berkenaan," tambah beliau.

Nazarbayev tiba semalam untuk lawatan selama dua hari ke Malaysia.

Ini merupakan kunjungan negara yang ketiga beliau ke Malaysia dalam tempoh 16 tahun (selepas 1996 dan 2006), sekali gus menandakan hubungan rapat antara Malaysia dan Kazakhstan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain