suria

Kes Saman Pemandu Teksi Ditembak Polis Selesai

KUALA LUMPUR: Satu kes saman cuai yang difailkan seorang pemandu teksi yang cedera di kedua-dua kaki akibat ditembak anggota polis terhadap kerajaan, hari ini selesai selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan penghakiman.

Dalam kes itu, pihak defendan bersetuju membayar RM33,000 kepada Yeow Leong Kang, 43, sebagai penyelesaian penuh dan muktamad.

Pada 9 November 2011, Yeow memfailkan saman itu terhadap detektif L/Kpl Norhesham Mohd Nor daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras dan kerajaan Malaysia memohon ganti rugi berjumlah RM214,000.

Hakim Mahkamah Sesyen Unaizah Mohd merekodkan persetujuan penghakiman itu ketika kes itu disebut di hadapannya.

Unaizah berkata kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan penyelesaian dengan terma-terma persetujuan tanpa pengakuan liabiliti daripada kedua-dua defendan. Yeow diwakili peguam Lim Lip Eng yang juga Anggota Parlimen Segambut, manakala defendan diwakili peguam persekutuan Nur Aqilah Ishak.

Yeow memberitahu media bahawa beliau tidak mempunyai kecederaan kekal tetapi mempunyai parut kekal di kedua-kedua kaki dan masih memandu teksi.

Dalam pernyataannya, lelaki itu mendakwa pada 4.30 petang, 23 September 2010, ketika beliau berada di dalam teksinya yang berhenti berhampiran Pejabat Pos Jalan Pudu, anggota polis terbabit telah melepaskan tembakan ke arah kakinya tanpa sebarang amaran dan alasan.

Yeow berkata beliau dirawat di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia selama tiga hari dan akibat tembakan itu, beliau telah mengalami kesakitan di kedua-dua kakinya serta pergerakannya terjejas. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain