suria

Kurang Air Bersih, 129 Projek Perkilangan Di Selangor Tidak Dapat Dilaksana

TANJONG KARANG: Sebanyak 129 projek perkilangan yang menawarkan lebih 12,000 peluang pekerjaan di Selangor tidak dapat dilaksanakan berikutan bekalan air bersih yang tidak mencukupi untuk menampung keperluan operasi pihak industri.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) tidak dapat menyalurkan bekalan air bersih kepada kilang berkenaan ekoran kekurangan air bersih di negeri ini.

"Meskipun 129 projek perkilangan dengan jumlah pelaburan RM3.8 bilion diluluskan, Syabas tidak dapat memberikan komitmen untuk menyalurkan bekalan kerana kekurangan simpanan air bersih," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perasmian jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) peringkat Tanjong Karang oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di sini, Jumaat.

Noh berkata, kekurangan air bersih itu disebabkan keengganan kerajaan negeri memberikan persetujuan kepada projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2.

Selain itu, katanya, Syabas turut menghadapi masalah menyalurkan air bersih untuk beberapa projek perumahan di Selangor.

Menurut Noh, kerajaan membelanjakan RM600 juta untuk menambah baik beberapa loji di Selangor bagi menyalurkan air bersih. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain