suria

Permohonan Semakan Terhadap Keputusan Mahkamah Koroner Didengar Jumaat Ini

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat akan mendengar permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Koroner yang tidak membenarkan permohonan keluarga pemandu teksi yang meninggal dunia semasa perhimpunan haram 9 Julai, bagi mendapatkan salinan percakapan saksi.

Perkara ini dimaklumkan oleh peguam Ahmad Jufliz Faiza, yang mewakili keluarga Baharudin Ahmad kepada Koroner Zulkpli Abdullah, dalam prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian pemandu teksi itu.

Dalam permohonannya itu juga, Ahmad Jufliz memohon agar Mahkamah Tinggi memutuskan permohonannya untuk mendapatkan salinan buku pendaftaran kematian yang mengandungi senarai kematian pada 9 dan 10 Julai 2011 selepas pihak hospital tidak memberikan salinan itu kepadanya, melainkan mendapat kebenaran mahkamah.

Permohonan keluarga Baharudin itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Pada 6 April lepas, Ahmad Jufliz, yang mewakili isteri Baharudin, Rosni Malan memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding inkues tersebut sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi berhubung permohonan itu.

Oleh itu Mahkamah Koroner pada Selasa menetapkan Jumaat ini untuk sebutan semula prosiding inkues itu.

Dalam permohonannya, Rosni yang menamakan Koroner sebagai responden pertama dan Timbalan PendakwaRaya sebagai responden kedua, antaranya memohon Koroner mengarahkan percakapan saksi dan dokumen dalam kawalan pihak hospital, berkaitan dengan prosiding inkues, dikemukakan kepadanya atau peguam.

Koroner Zulkpli pada 26 Mac lepas telah menolak permohonan Rosni dan peguamnya supaya Zulkpli mengarahkan Timbalan Pendakwa Raya agar memberikan percakapan saksi itu kepada mereka.

Ahmad Jufliz dalam afidavit sokongannya, mendakwa keterangan saksi itu penting bagi membantu mahkamah dalam memastikan keterangan saksi adalah benar, konsisten dan tidak bercanggah demi kepentingan keadilan semua pihak. - BERNAMA

Artikel Lain