suria

Lelaki Pakistan Didakwa Miliki 14 Keping Wang Rupee Palsu

SHAH ALAM: Seorang buruh warga Pakistan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas tuduhan memiliki 14 keping wang palsu dengan nilai 10,000 rupee bulan lepas.

Faisal Rafique, 41, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan kepadanya dalam bahasa Urdu oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Fadhir Harun.

Dia didakwa memiliki enam keping wang 1,000 rupee dan lapan keping wang 500 rupee palsu di Billion Debut Sdn Bhd, Lot G3-5, Ground Floor, Axis Atrium, Jalan Cempaka, Ampang dekat sini, kira-kira 7.30 malam pada 17 Mac lepas.

Faisal didakwa mengikut Seksyen 489 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Aqeeb Uzalman Nordin Zamery yang mengendalikan pendakwaan, mencadangkan agar Faisal dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000 dan memohon agar pasport antarabangsa tertuduh diserah kepada mahkamah.

Faisal, yang tidak diwakili peguam, bagaimanapun memohon agar mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan dia ingin meminta wang daripada bapanya yang berada di Pakistan.

Hakim Mohd Fadhir memutuskan agar tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin rakyat tempatan dan menetapkan 8 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Beliau turut memerintahkan supaya pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes itu selesai. - BERNAMA

Artikel Lain