suria

Kilang Membuat Komponen Elektronik Musnah Dalam Kebakaran

IPOH: Sebuah kilang membuat komponen peralatan elektronik di Taman Perindustrian Silibin di sini, musnah dalam satu kebakaran tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh P.Samasuvan berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang menyedari kejadian itu kira-kira pukul 1 tengah hari.

Katanya seramai 33 anggota bomba termasuk pegawai dengan empat jentera dari balai Bomba Ipoh, Simpang Pulai dan Pengkalan bergegas ke tempat kejadian.

"Tiba di tempat kejadian, api marak dan kebakaran itu mengakibatkan 80 peratus daripada keseluruhan kilang dua tingkat itu musnah.

"Bomba dengan bantuan sukarela berjaya mengawal api daripada merebak ke kilang berhampiran kira-kira pukul 1.45 petang," katanya kepada pemberita Selasa.

Beliau berkata kebakaran bermula dari bahagian tengah tingkat bawah kilang itu sebelum merebak ke bahagian lain.

"Kita mengambil masa kira-kira empat jam untuk mengawal kebakaran sepenuhnya, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan kerana ketika kejadian semua pekerja keluar makan tengah hari," katanya.

Samasuvan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian. - BERNAMA

Artikel Lain