suria

Himpunan Sejuta Belia Bakal Dijadikan Antara 10 Karnival Terbesar Di Dunia - Shabery

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bertekad menjadikan Himpunan Jutaan Belia yang diadakan setiap hujung Mei sebagai antara 10 karnival tahunan terbesar di dunia, kata Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau yakin karnival itu yang diadakan sempena sambutan Hari Belia Negara mampu mencapai status berprestij itu berdasarkan ia telahpun mencipta nama sebagai karnival belia terbesar di Asia.

Katanya Himpunan Sejuta Belia yang menyajikan lebih 500 acara menarik mampu memikat pelancong asing seperti beberapa karnival utama dunia antaranya karnival Mardi Gras yang dirayakan di Rio de Janeiro (Brazil), Venesia (Itali) dan Louisiana (Amerika Syarikat).

"Setakat ini di Asia, karnival ini adalah yang terbesar. Cuma kita nak tengok dari segi penilaian antarabangsa supaya pada suatu masa nanti orang (pelancong asing) akan datang ke Putrajaya setiap tahun untuk melihat kepelbagaian dari segi kesenian, kebudayaan,aktiviti dan kehidupan masyarakat Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil-wakil Kementerian Pelancongan dan Persatuan-Persatuan Hotel di sini, Isnin.

Justeru beliau meminta Kementerian Pelancongan dan wakil persatuan hotel memainkan peranan untuk mempromosi dan mewujudkan pakej-pakej istimewa bagi menarik pelancong asing sempena karnival itu yang diadakan dari 23 hingga 27 Mei 2012 di Putrajaya yang mensasarkan dua juta pengunjung.

Katanya berdasarkan maklumat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), 10 peratus daripada 1.1 juta pengunjung tahun lepas adalah pelancong asing dan angka itu boleh berlipat ganda sekiranya pakej promosi dipertingkatkan lagi di luar negara.

Pelbagai aktiviti menarik dijadual diadakan pada karnival Mei ini termasuk pelancaran Himpunan Jutaan Belia oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, konsert artis antarabangsa, promosi jelajah seluruh negara, pameran kerjaya, temuduga terbuka, motivasi kerjaya, pelancaran segmen modal insan, program bercorak keagamaan, pameran dan jualan dan perbarisan terbesar pasukan beruniform.

Hari Belia Negara disambut bagi memberi pengiktirafan dan penghormatan kepada golongan belia di negara ini yang turut memain peranan menyumbang pelbagai jasa kepada kerajaan dan negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain