suria

Kerajaan Lakukan Kajian Rapatkan Jurang Sekolah Bandar & Luar Bandar

PAGOH: Kementerian Pelajaran sedang menjalankan kajian intensif sebagai usaha merapatkan jurang pendidikan antara sekolah di bandar dan luar bandar, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata kajian berkenaan bertujuan mengenal pasti isu dan masalah di sekolah luar bandar yang pencapaian pelajarnya dilihat lebih rendah berbanding sekolah di kawasan bandar.

"Kita hendak lihat apa masalahnya adakah disebabkan infrastruktur yang tidak lengkap, kurang peralatan, kualiti guru, kurang guru, persekitaran pembelajaran yang tidak sesuai atau sikap ibu bapa yang menyebabkan anak-anak hilang tumpuan terhadap pelajaran," katanya kepada pemberita selepas majlis jalinan mesra warga pendidikan dan perasmian 17 dewan sekolah sekitar Parlimen Pagoh, di Panchor, di sini, Sabtu.

Muhyiddin, yang juga Anggota Parlimen Pagoh, berkata jurang antara pelajar luar bandar dan bandar kelihatan timbul setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan.

"Jurang memang tetap akan ada tetapi kita harap nanti jangan terlalu besar dan tidak realistik. Kita akan umum kajian ini apabila siap dan kita akan cari pelan tindakan untuk memperbaikinya," jelasnya.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis pecah tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Temiang Renchong, dekat Bukit Pasir, di sini, Timbalan Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak akan menutup SJKT dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di negara ini walaupun mengalami kekurangan murid.

Beliau berkata perkara itu merupakan dasar dan telah dipersetujui semua pihak walaupun sekolah berkenaan hanya mempunyai 10 pelajar.

Menurut Timbalan Perdana Menteri kira-kira 1,800 SJKT dan SJKC wujud di negara ini ketika ini dengan 41 peratus daripadanya mengalami masalah kekurangan pelajar.

Katanya sokongan terhadap SJKT dan SJKC itu membuktikan kerajaan tidak meminggirkan mana-mana kaum di negara ini sekaligus memulihara bahasa ibunda masing-masing.

"Sebab itu kita peruntukan RM1.04 bilion kepada SJKT setiap tahun dan RM2.8 bilion kepada SJKC bagi tujuan pembayaran gaji dan kos operasi," katanya.

Mengenai SJKT Ladang Temiang Renchong itu, Muhyiddin berkata sebanyak RM11 juta diperuntukkan bagi tujuan pembinaan sekolah dengan RM1 juta adalah untuk pembelian tanah manakala bakinya untuk pembinaan lapan bilik darjah berserta sebuah dewan. - BERNAMA

Artikel Lain