APMM Tahan 28 Nelayan Asing Dan Dua Bot Langgar Peraturan Tangkapan Ikan - Semasa | mStar

APMM Tahan 28 Nelayan Asing Dan Dua Bot Langgar Peraturan Tangkapan Ikan

KEMAMAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot bersama 28 orang awak-awak, selepas didapati melanggar peraturan menangkap ikan kira-kira 35 batu nautika timur laut Pulau Tenggol yang terletak di luar pantai Terengganu malam Jumaat.

Dalam kejadian pukul 11 malam itu, kedua-dua bot berkenaan dikesan menggunakan taktik menangkap ikan dengan menunda bot bergandingan.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Terengganu, Kapten Maritim Adam Aziz berkata, mereka melakukan perbuatan itu untuk mengaut keuntungan dengan lebih cepat tetapi aktiviti itu diharamkan di negara ini kerana ia akan merosakkan terumbu karang dan menjejaskan hasil tangkapan nelayan.

"Sebuah bot berpangkalan di Tok Bali, Kelantan dengan nombor pendaftaran KNF 7840 manakala sebuah bot lagi bernombor pendaftaran PAF 4582 berpangkalan di Pahang," katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar di Pangkalan Maritim APMM di Teluk Kalong di sini, Jumaat.

Seramai 18 nelayan asing warga Vietnam berusia lingkungan 27 hingga 48 tahun dari bot KNF 7840 ditahan manakala bot PAF 4582 yang mempunyai 10 nelayan Vietnam berusia sekitar 21 hingga 44 tahun juga turut ditahan, katanya.

Katanya, operasi tersebut yang melibatkan 14 anggota APMM daripada Kapal Maritim Redang turut berjaya merampas empat tan metrik hasil tangkapan ikan kedua-dua bot itu.

Mengulas lanjut mengenai tangkapan itu, Adam berkata, bot dari Pahang itu cuba melarikan diri namun berjaya dihalang anggota APMM.

"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua nelayan asing itu mempunyai permit kerja yang sah, namun bot dari Pahang itu gagal menunjukkan lesen penangkapan yang sah.

"Oleh itu kita telah membawa kesemua awak-awak itu ke sini untuk siasatan lanjut," katanya.

Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perikanan dan sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun tidak kurang RM500 dan tidak lebih RM2,000. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

default image

CPA Australia platform berkualiti, pantas capai kelayakan perakaunan diiktiraf global

JIKA anda mempunyai kelayakan yang sewajarnya dalam industri perakaunan, perbankan dan kewangan, ia boleh memberikan prospek kerja dan kepelbagaian projek kepada anda.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

Populasi penduduk kunci utama PSKL2040

DBKL menekankan aspek populasi penduduk sebagai kriteria utama dalam merangka pelan pembangunan di ibu kota.

Artikel Lain