suria

Polis Tumpas Enam Sindiket Dalam Tempoh Seminggu, Rampas RM10.63 Juta Dadah

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh seminggu, polis menumpaskan enam sindiket pengedaran dadah dan merampas 51.2 kg syabu dan 7,728 biji ecstasy bernilai RM10.63 juta dalam beberapa siri serbuan bermula 20 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata lima daripada enam kes tersebut melibatkan sindiket warga Afrika Barat yang menyeludup masuk dadah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Dalam dua kes pertama, polis telah berjaya mematahkan kegiatan sindiket yang menyeludup masuk dadah bersama bungkusan barangan yang diisytiharkan sebagai alat ganti kenderaan," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Ketika serbuan pertama pada 20 Mac, polis merampas dadah jenis syabu seberat 3.26 kg yang disorok dalam dua batang silinder besi dan ketika serbuan, polis menahan seorang lelaki dan dua wanita warga Nigeria di sebuah rumah di Taman D Alpinia, Puchong.

"Susulan tangkapan tersebut, polis kemudiannya menangkap tiga lagi ahli sindiket yang terdiri daripada dua lelaki warga Nigeria dan seorang wanita warga tempatan di sebuah rumah dan hotel di sekitar Subang Jaya dan Puchong," katanya.

Dalam serbuan yang sama, Noor Rashid berkata seorang lagi lelaki warga Nigeria yang cuba melarikan diri telah mati akibat terjatuh dari tingkat dua sebuah hotel di Subang Jaya.

Beliau berkata bagi kes kedua pada 22 Mac lepas, polis merampas 53 bungkusan dadah jenis syabu seberat 36.42 kg disembunyikan dalam enam batang silinder besi dalam sebuah bungkusan tanpa tangkapan di KLIA.

"Dalam kedua-dua kejadian rampasan itu, polis mendapati dadah tersebut telah dibawa masuk daripada salah sebuah negara Afrika," katanya.

Noor Rashid berkata dalam tiga kes lain, polis mematahkan cubaan sindiket yang menggunakan kurier dan tiga lelaki warga Nigeria yang tiba di KLIA telah ditahan.

"Dalam kes pertama dan kedua, polis menahan dua lelaki Nigeria yang cuba menyeludup dadah secara telan apabila pemeriksaan mendapati mereka telah menelan sebanyak 65 ketulan kapsul seberat 1,079 gram dan 44 ketulan kapsul masing-masing seberat 783 gram," katanya.

Bagi kes ketiga pada 22 Mac lalu, Noor Rashid berkata polis menahan seorang lelaki Nigeria setelah hasil pemeriksaan ke atas beg yang dibawa mendapati ia telah diubahsuai dan sejumlah 2.1 kg syabu disorokkan pada ruangan tapak beg tersebut.

Dalam kes terbaru pada Selasa lalu, Noor Rashid berkata polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah tempatan dengan tertangkapnya dua lelaki dan merampas 7.52kg dadah jenis syabu dan 1.67 kg (7,728 biji) ecstasy di hadapan sebuah apartmen di Bukit Jalil.

"Ketika serbuan dijalankan, sebuah kereta mewah jenis Mercedes Benz dan sebuah Toyota Wish serta wang tunai berjumlah RM 1,407 dirampas," katanya.

Beliau berkata kesemua suspek warga Nigeria berumur 20 hingga 37 tahun dan warga tempatan berumur 45 hingga 48 tahun ditahan mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain