suria

Kes Altantuya: Pendengaran Rayun 27 & 28 Ogos

KUALA LUMPUR: Tarikh pendengaran rayuan dua pegawai polis yang disabitkan kesalahan membunuh model warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu ditetapkan pada 27 dan 28 Ogos depan.

Perkara berkenaan diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada persidangan Dewan Rakyat di sini,Khamis.

"Berkaitan kes pembunuhan Altantuya, tarikh perbicaraan rayuan bagi kes ini ditetapkan pada 27 dan 28 Ogos tahun ini di Mahkamah Rayuan," katanya ketika menggulung usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di sini.

Sebelum ini kedua-dua perayu, Cif Insp Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar memfailkan petisyen rayuan mereka.

Azilah, 34, dan Sirul Azhar, 39, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April, 2009, setelah mendapati mereka bersalah membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja antara 9.45 malam 18 Oktober, 2006, dan 9.45 malam hari berikutnya.

Perbicaraan kes mereka berlangsung selama 159 hari.

Kedua-dua mereka, yang merupakan komando dalam pasukan elit Unit Tindakan Khas, kemudiannya memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, didakwa bersubahat dengan kedua-dua tertuduh itu dalam kes pembunuhan Altantuya.

Dia dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober, 2008, tanpa dipanggil membela diri.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain