suria

Jangan Politikkan Isu Keselamatan Dan Aset Pertahanan Negara

KUALA LUMPUR: Hal-hal berkaitan keselamatan dan aset pertahanan negara tidak boleh dipolitikkan kerana ia boleh menjejaskan keselamatan negara.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata kesan daripada elemen-elemen yang dipolitikkan itu secara tidak langsung telah mendedahkan rahsia keselamatan dan kesiapsiagaan negara kepada musuh yang tidak dikenali.

"Dulu kita tahu siapa musuh kita, dulu ada musuh tradisional tapi sekarang tidak ada lagi, hanya bukan ancaman tradisional. "Oleh itu, dalam hal-hal bersangkut paut dengan keselamatan dan aset pertahanan tiada kompromi untuk dipolitikkan, yang lain boleh dipolitikkan tapi tidak keselamatan negara dan aset pertahanan kita," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) yang ingin tahu mengenai tahap kesiapsiagaan anggota keselamatan negara.

Mohamad juga membangkitkan soal keselamatan negara dan aset pertahanan negara yang cuba dipolitikkan oleh pihak tertentu. Selain itu, Dr Abdul Latiff berkata anggota tentera termasuk tentera laut, tentera darat mahupun tentera udara turut berasa terkilan atau kecil hati sekiranya isu ini dipolitikkan kerana mereka telah mempersiapkan diri untuk menerima teknologi terkini dalam pertahanan negara.

"Pada masa yg sama, bila dipolitikkan, kecil hati anggota tentera kita tak kiralah tentera Laut, Darat, mahupun Udara dan setiap kali kerajaan membuat keputusan untuk memperolehi aset baru, mereka amat gembira kerana mereka telah dilatih dan dididik menjadi seorang anggota tentera yang profesional," katanya.

Menjawab soalan Nasharudin Mat Isa (Pas-Bachok), Dr Abdul Latiff berkata kerajaan sememangnya mengikut peraturan dan arahan perbendaharaan dalam proses perolehan ketenteraan dan aset pertahanan negara.

Menurut beliau, tidak ada satu pun perolehan yang tidak mengikut arahan perbendaharaan, cumanya dalam sesuatu perolehan aset yang melibatkan perkara-perkara rahsia, akan ada satu pasukan yang akan menilai tiap-tiap satu aset mengikut teknologi yang dinyatakan.

"Keperluan teknologi itu perlu dipenuhi mengikut keperluan dan kehendak pengguna berkenaan sesuai dengan kewangan negara. Jadi tidak timbul perkara-perkara yang dibuat tidak mengikut arahan perbendaharaan atau perkara yang diluar peraturan yang telah kita tetapkan," katanya.

Sementara itu, Dr Abdul Latiff berkata usaha kementerian dalam meningkatkan sistem pertahanan negara adalah berpandukan kepada pelan pembangunan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau Pelan 4th Dimension Malaysian Armed Forces (4D MAF) yang merupakan landasan untuk tempoh jangka panjang, 2009-2020 dan seterusnya.

Katanya strategi pembangunan ini sejajar dengan konsep pertahanan yang termaktub dalam dasar Pertahanan Negara (DPN) serta Strategi Ketenteraan Negara (SKN).

Justeru, beliau berkata proses penambahan kekuatan armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) perlu dibangunkan secara bersepadu melalui rancangan jangka pendek dan jangka panjang sejajar dengan perkembangan teknologi semasa melalui perolehan aset pertahanan yang berteknologi terkini bergantung kepada kemampuan kewangan negara.

Katanya sebagai langkah menambah kekuatan jangka pendek, program modenisasi dan pemanjangan jangka hayat atau Ship Life Extension Programme (SLEP) beberapa buah kapal, TLDM sedang dilaksanakan untuk memastikan peralatan kapal-kapal tersebut digantikan dengan yang terkini bagi menangani isu keusangan untuk menjadikan aset-aset ini lebih efektif untuk dioperasikan.

Bagi proses memperkuatkan armada laut untuk jangka panjang pula ialah melalui perolehan enam buah Offshore Patrol Vessels (OPV) yang dilakukan dalam Rancangan Malaysia ke-8 (RMK-8) dan RMK-9, dua buah kapal latihan dalam RMK-10 dan diikuti dengan rancangan perolehan enam buah kapal perang Littoral Combatant Ship (LCS) yang telah diluluskan dalam RMK-10 dan sebahagian dalam RMK-11.

"Kekuatan TLDM bukan sahaja terletak kepada aset yang berteknologi tinggi tetapi ia hendaklah berbekalkan modal insan yang berkualiti untuk menghasilkan suatu angkatan yang kredibel agar mampu melaksanakan peranan dan fungsi dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara serta kepentingannya," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain