suria

Tempoh Sah Laku Baucar Buku 1Malaysia Dilanjut Hingga 30 April - Khaled

PUTRAJAYA: Tempoh sah laku Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) yang sepatutnya tamat pada 31 Mac ini dilanjutkan sehingga 30 April ini, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata ini bagi memberi peluang kepada pelajar yang belum berkesempatan menggunakan baucar itu untuk berbuat demikian termasuklah pelajar yang diterima masuk ke institusi pengajian tinggi bagi sesi pengambilan kedua, awal tahun ini.

"Tempoh lanjutan itu memberi peluang kepada pelajar yang telah diberi BB1M untuk menunaikannya bagi membeli buku dan bukan untuk mana-mana pihak mengemukakan permohonan tambahan atau baru.

"Baucar ini hanya layak untuk pelajar yang menyambung pelajaran sebelum 31 Mac sahaja dan tidak layak kepada yang masuk pada April," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Kursi Akademik Luar Negara di sini Isnin.

Baucar buku bernilai RM200 itu diberikan kepada semua penuntut warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, matrikulasi dan pelajar Tingkatan Enam sejak awal tahun ini seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Belanjawan 2012.

Sehubungan itu, Khaled berkata semua kedai buku yang menyertai program ini dikehendaki menerima BB1M daripada pelajar walaupun sah laku yang dicetak pada setiap keping baucar hanya sehingga 31 Mac depan.

Katanya para pelajar juga perlu segera menunaikan baucar masing-masing kerana penggunaan BB1M selepas 30 April tidak akan diterima.

Berdasarkan rekod kementerian itu, Khaled berkata sebanyak 1.2 juta pelajar telah menerima BB1M yang dianggarkan bernilai RM255 juta.

Terdahulu pada majlis itu Khaled turut menyampaikan watikah pelantikan kepada penyandang kedua Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU), China Prof Mohd Taib Dora dari Universiti Teknikal Melaka untuk tempoh dua tahun berkuatkuasa 1 April depan.

Kursi itu yang ditubuhkan sejak Januari 2007 di BFSU bertujuan meningkatkan kesedaran ahli-ahli cendekiawan mengenai kepentingan pengajian bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu di rantau Asia Timur selain dapat memperkukuhkan kerjasama erat antara kerajaan Malaysia dan China.

Khaled dalam ucapannya berkata antara kursi akademik lain yang ditubuhkan di luar negara adalah Kursi Tun Abdul Razak di Ohio University, Amerika Syarikat (ditubuhkan pada 1980), Kursi Eropah bagi Pengajian Melayu di Leiden University, Belanda (1992), Kursi Pengajian Melayu di Victoria University of Wellington, New Zealand (1996) dan Kursi Pengajian Melayu di Hankuk University of Foreign Studies di Korea Selatan (2008).

Katanya kerajaan juga berhasrat memperluaskan lagi penubuhan Kursi-kursi Akademik di negara lain antaranya di Jerman dan Jepun. - BERNAMA

Artikel Lain