suria

Anggota Polis Sukarela Ditahan Bantu Kes Tikam Peniaga Ayam

GEORGE TOWN: Seorang anggota polis sukarela ditahan bagi membantu siasatan kes tikam seorang peniaga ayam di Relau dekat sini malam Isnin.

Menurut jurucakap polis, anggota berusia 30-an itu ditahan kira-kira 9.15 malam tadi berhampiran tempat kejadian iaitu di Pangsapuri Alor Vista.

"Hasil tindakan pantas orang ramai yang memaklumkan kejadian berkenaan, polis berjaya menahan lelaki tersebut yang ketika itu cuba melarikan diri," katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahui motif sebenar kejadian.

Dalam kejadian 9 malam itu, mangsa Chong Hoon Huat, 40, cedera di perut dan bahu dipercayai ditikam oleh suspek berkenaan. Mangsa dikatakan sedang menunggu untuk menaiki lif ke rumahnya apabila dia diserang.

Beberapa orang yang menyaksikan kejadian itu membantu menghalang suspek dari terus menyerang mangsa sebelum suspek melarikan diri.

Chong masih dirawat di Hospital Pulau Pinang.

Menurut anak lelaki mangsa, suspek pernah berselisih faham dengan bapanya beberapa bulan lepas.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata suspek direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. -BERNAMA

Artikel Lain