suria

Rumah Disamun, Empat Sekeluarga Rugi Lebih 20,000

BAYAN LEPAS: Empat sekeluarga di Sungai Ara di sini mengalami kerugian lebih RM20,000 apabila rumah mereka dipecah masuk empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang awal pagi Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superitendan Lai Fah Hin berkata, pada kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, perompak terbabit dikatakan mengejutkan kesemua mangsa yang sedang tidur di bilik masing-masing sebelum mengumpulkan mereka di dalam sebuah bilik.

"Kumpulan perompak bertopeng terbabit dikatakan mengikat tangan dan mulut kesemua mangsa sebelum mengambil barangan berjenama termasuk barang kemas, jam tangan, telefon bimbit dan wang tunai milik mangsa," katanya ketika dihubungi di sini, Jumaat.

Difahamkan mangsa mengambil masa kira-kira 30 minit untuk melepaskan diri masing-masing daripada ikatan dan kemudian mendapatkan bantuan.

Lai berkata, kesemua lelaki itu dipercayai datang dengan berjalan kaki ke rumah mangsa dan menjadikan kediaman mewah sebagai sasaran mereka.

Katanya, polis percaya kesemua suspek yang dipercayai warganegara asing itu terlibat dengan beberapa siri rompakan seumpama itu di sekitar Daerah Barat Daya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan bagi rompakan berkumpulan dan rompakan dengan bersenjata, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada 20 tahun dan sebatan. - BERNAMA

Artikel Lain