suria

Ancaman Baru Lautan Biru..Buli Siber

MUNGKIN istilah pembuli siber agak janggal didengar oleh kita. Justeru, mungkin sukar untuk difahami siapa dan bagaimana kerja buli yang dilakukan pembuli siber ini.

Selama ini, yang sering diketahui hanya pembuli menggunakan kekerasan fizikal untuk menakut-nakutkan mangsanya yang lemah.

Bagaimanapun, insiden kematian seorang remaja perempuan Islam berketurunan Turki baru-baru ini menggerakkan hati saya untuk mengulas isu semasa ini.

Kematian itu sungguh tragis. Apabila mangsa dengan sengaja melompat di hadapan kereta api yang sedang bergerak pantas, bayangkan betapa hancur berkecainya jasad arwah.

Beberapa teori dangkal dilontarkan untuk menafsir peristiwa malang ini. Tapi yang pasti, tekanan emosi dan perasaan murung yang dialami oleh remaja perempuan berusia 14 tahun itu akibat daripada dicemuh dan dibuli di alam siber yang menjadi titik persoalan dan perbincangan umum.

Hakikatnya, dunia yang serba canggih yang melampaui batasan sempadan fizikal mencipta beberapa onak dan duri dalam kehidupan seharian kita kini.

Begitu juga dengan kaedah membuli. Kini, kita terpaksa menerima kehadiran masalah baru dalam masyarakat yang jika tidak ditangani segera pastinya mengundang bencana kepada masalah sosial di negara ini.

Jika anda ingat perkara sebegini tidak pernah dan tidak akan berlaku dalam negara kita, anda silap.

Menurut Reader’s Digest Asia, sehingga Oktober 2007, terdapat 60 kes buli siber telah dilaporkan kepada Cyber Security Malaysia.

Ironinya, di Malaysia, masih ramai yang tidak mengetahui atau menganggap bahawa buli siber sebagai sesuatu yang serius.

Fakta yang dinyatakan di sini ialah hampir lima tahun yang lalu. Malangnya cubaan untuk mendapat perangkaan baru gagal saya perolehi semasa menulis artikel ini, tetapi saya yakin jumlahnya berlipat kali ganda.

Penggunaan teknologi telekomunikasi dan internet kini kian hebat disalahgunakan oleh pembuli siber.

Buli siber tidak melibatkan fizikal tetapi lebih kepada permainan emosi dan tekanan perasaan dengan tujuan untuk memalukan seseorang.

Melalui teknologi ini, terdapat ramai yang dibuli, sama ada diejek, dibenci dan dipulaukan oleh orang lain melalui laman sosial, laman video mahupun sistem pesanan ringkas (sms).

Buli siber boleh memberikan impak yang sangat besar kepada mangsa. Bagi sesetengah orang, sesuatu pernyataan, gambar atau video itu mungkin dianggap sebagai bahan gurauan.

Tetapi kepada mangsa, perkara itu boleh memalukan sehingga boleh menyebabkan seseorang itu membunuh diri kerana baginya, gurauan tersebut melampaui batas dan mereka tidak sanggup hidup untuk terus dicemuh.

Di negara maju, masalah buli siber sudah dianggap berada pada tahap serius. Di Amerika Syarikat, laporan berita CBS mendakwa, hampir 40 peratus pelajar di negara itu pernah menjadi mangsa buli siber sehingga ada yang sanggup membunuh diri kerana tidak tahan dengan hinaan dan fitnah yang disebarkan rakan sekolah menerusi e-mel, laman web dan SMS.

Pastinya, kita tidak lupa mengenai beberapa kes penyebaran gambar palsu termasuk yang melibatkan orang ternama, politik dan artis dalam laman sosial, web atau blog.

Malah, penyebaran khabar angin melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) juga berlaku dari semasa ke semasa. Inilah yang dikatakan pembuli siber. Banyak lagi kes seperti itu dilaporkan sebelum ini.

Jika orang yang berkedudukan tinggi pun boleh menjadi mangsa pembuli siber, pastinya setiap daripada kita lebih mudah terdedah dengan ancaman yang serupa.

Sememangnya kecanggihan teknologi maklumat memberi pilihan kepada kita untuk berhubung, bergaul serta berkomunikasi, tetapi ia juga boleh mengundang padah apabila wujud pihak yang mahu mengambil kesempatan menganiaya mereka.

Menurut laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimeda Malaysia (SKMM), sejumlah lebih dari 46 peratus pengguna internet di negara kita dilanda demam laman sosial seperti Friendster, MySpace, Xanga, twitter atau Facebook.

Lebih dua pertiga dari mereka gemar memuat turun gambar, menceritakan pengalaman setiap hari mereka tanpa rasa curiga. Tindakan mereka mendedahkan maklumat peribadi yang ada kalanya sulit, sama ada melalui internet, laman web sendiri atau blog, boleh diguna pakai pihak tertentu sebagai bahan dan alat untuk membuli serta mengancam mereka.

Pembulian seperti ini boleh dianggap seperti 'membaling batu, sorok tangan', tidak jelas perlakuan dan sukar untuk dibuktikan.

Tidak hairanlah sehingga ke hari ini, masih tiada seorang pun yang didakwa atas kesalahan sebagai pembuli siber, walaupun kita mempunyai Akta Komunikasi Dan Multimedia.

Mengikut Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 98), pembuli siber boleh dikenakan tindakan jika disabitkan kesalahan boleh didenda RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

Australia belum lagi mempunyai sebarang undang-undang secara khusus mengenai pembuli siber ini namun lain pula di England.

Kerajaan UK telah mengambil langkah drastik dengan memastikan agar pembuli siber tidak berakar umbi dari mula lagi.

Memandangkan banyak kes pembuli siber terdiri dari kanak-kanak di bangku sekolah, jika didapati bersalah mahkamah boleh mengenakan denda sehingga Pound Sterling 1,000 ke atas ibu bapa `pembuli siber' atau pelajar yang terbabit membuat ancaman kepada rakan menerusi telefon bimbit, e-mel, SMS dan laman web sosial di internet. Selain didenda, ibu bapa terbabit diarahkan mengawal tindak tanduk anak atau sebaliknya mereka diwajibkan menghadiri kelas keibubapaan serta dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan jenayah jika masalah ini berterusan.

Kabinet Britain berhasrat menggunakan kuasa mendenda ibu atau bapa yang terbukti gagal menangani sikap buli anak mereka agar gejala ini dapat dibendung sebelum ianya menjadi lebih parah.

Kesimpulannya, isu penyalahgunaan siber janganlah dipandang ringan. Malah ketika ini juga sudah sering kali kedengaran penggunaan ilmu hitam menerusi teknologi maya.

Segala perkara jangan dipandang sepi, datuk nenek kita sering berpesan “sediakan payung sebelum hujan”.

Mungkin kita boleh mengambil iktibar daripada kes terbabit. Tidak mustahil dalam tempoh lima tahun lagi, pembuli siber boleh dilakukan oleh kanak-kanak berusia 10 tahun jika masalah ini terus dianggap remeh seperti yang berlaku di negara maju.

Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri merupakan bekas Honorary Fellow di Asian Institute University of Melbourne dan Adjunct di School of Philosophy, History and International Studies Monash University. Beliau merupakan pensyarah kanan di Universiti Utara Malaysia. Beliau boleh dihubungi menerusi email [email protected].

Artikel Lain