suria

Kanak-Kanak Lelaki Ditemui Mati Lemas Di Kolam Ikan

IPOH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemui mati lemas di sebuah kolam ikan di Changkat Kinding, Chemor di sini Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Superitendan Azisman Alias berkata, mangsa yang dikenali sebagai Tee Wee Kai, dari Pagoh, Johor ditemui di dasar kolam berkenaan pada pukul 11.50 pagi oleh keluarganya dan dihantar ke sebuah klinik untuk rawatan.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika sampai di klinik itu. Mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Katanya, mangsa sebelum itu bersama keluarganya datang ke Changkat Kinding untuk melawat saudaranya sambil bercuti, dan semasa berada di tempat kejadian Tee dikatakan bermain-main di tepi kolam berkenaan lalu tergelincir dan jatuh.

Keluarganya menemui mangsa di dasar kolam berkenaan selepas mencarinya dalam tempoh sejam selepas menyedari mangsa tidak kelihatan ketika masuk waktu makan tengah hari, katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, seorang lelaki dilaporkan hilang ketika menjalani latihan menyelam di dasar laut Pulau Sembilan, Pangkor pada Sabtu.

Mangsa Mohamad Nasir Mokhtar, 52, dari sini, dilaporkan hilang pada 10.50 pagi oleh pelatihnya selepas dia tidak muncul di permukaan laut ketika sesi latihan selesai yang disertai tujuh orang.

Hanya enam penyelam sahaja yang naik ke permukaan laut, manakala mangsa tidak timbul dan apabila gagal mencarinya satu laporan polis dibuat dan operasi mencari dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Polis Maritim dilancarkan. Latihan menyelam itu diuruskan oleh sebuah kelab penyelam di Lumut. - BERNAMA

Artikel Lain