suria

Tiga Ditahan Berhubung Kes Rompak Premis Pengurup Wang

SEREMBAN: Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes merompak sebuah premis pengurup wang yang membabitkan wang tunai RM250,000 di Nilai Ahad lalu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh berkata, selain berjaya menahan ketiga-tiga suspek yang berusia antara 22 hingga 23 tahun tiga hari lalu, polis turut menemui semula sebahagian besar wang tunai yang dirompak dari premis terbabit iaitu lebih RM194,000.

"Ketiga-tiga suspek ditahan di sekitar negeri ini dan kita turut menemui sebilah pisau dan sebuah motosikal yang dipercayai digunakan dalam rompakan tersebut.

"Hasil siasatan kita dapati motosikal tersebut adalah milik salah seorang suspek," kata dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri di sini Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, seorang lelaki yang memakai topi keledar masuk ke tingkat dua premis pengurup wang milik sebuah bank dan mengacukan pisau ke arah salah seorang dari dua juruwang yang berada di kaunter.

Suspek kemudian merompak wang di kaunter dan mengarahkan juruwang membuka peti kesalamtan yang mengandungi wang tunai sebelum melarikan diri dengan menggunakan sebuah motosikal bersama RM250,000.

Osman berkata, dua dari suspek bekerja sebagai jurutol di sebuah plaza tol di Nilai, manakala seorang lagi bekerja sebagai pegawai keselamatan berjaya ditahan dua hari selepas itu dan kini direman sehingga 19 Mac untuk siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Osman berkata, sebanyak empat kes kejadian rompak terhadap individu yang baru mengeluarkan wang dari bank membabitkan nilai RM97,300, dilaporkan tahun ini.

Katanya, perompak yang telah mengenal pasti mangsa yang akan mengeluarkan wang dalam jumlah yang banyak, bertindak menunggu mangsa keluar dari bank sebelum mengekorinya.

"Modus operandinya adalah dengan memancitkan tayar kereta mangsa dan memecahkan cermin kereta mangsa dan kemudian melarikan wang tunai tersebut," katanya.

Katanya, tahun lepas sahaja sebanyak 26 kes serupa dilaporkan membabitkan wang tunai lebih RM797,000, di mana 24 dari kes tersebut perompak memecahkan cemin kereta mangsa sebelum melarikan wang tunai.

"Jadi saya ingin mengingatkan orang ramai agar berhati-hati semasa hendak mengeluarkan wang tunai dan waspada juga selepas keluarkan wang tunai supaya kejadian serupa tidak berlaku kepada mereka," katanya.

Dalam kes berasingan, Osman berkata, pihaknya telah menahan tujuh individu termasuk dua wanita bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh sepasang suami isteri warga emas di Lukut, Port Dickson Isnin lalu.

Katanya, kesemua yang ditahan adalah warga tempatan berusia antara 22 hingga 46 tahun yang dipercayai dapat membantu siasatan kes tersebut.

"Kita juga masih menyisat motif kes ini sama ada ianya samun atau sebaliknya kerana nilai yang disamun setakat adalah kecil," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain