suria

Eksport Halal Malaysia Berkembang 6 Peratus Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Eksport produk Halal Malaysia dijangka berkembang enam peratus tahun ini, dirangsang oleh permintaan yang semakin meningkat dari China dan India, selain potensi penembusan di negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, China dan India mempunyai gabungan penduduk Islam seramai 193 juta, dan tahun lepas Malaysia mengeksport barangan Halal bernilai RM5.5 bilion ke kedua-dua negara berkenaan.

"Berdasarkan bilangan penduduk Islam yang ramai ini, Malaysia sewajarnya mengeksport lebih banyak barangan ke China dan India memandangkan pasaran sudah tersedia selain berpotensi untuk membangunkan pasaran Halal masing-masing di sana," katanya kepada pemberita selepas menyemak prestasi industri Halal sepanjang tahun lepas. Memetik China sebagai contoh, beliau berkata, ekonomi kedua terbesar di dunia itu mempunyai potensi pasaran Halal bernilai US$2.1 bilion (US$1 = RM3.05) dan ia diunjur berkembang sebanyak 10 peratus setahun.

"China mengimport RM4.1 bilion produk Halal dari Malaysia pada 2011 daripada keseluruhan eksport bernilai RM35.4 bilion," katanya.

Mustapa juga berkata, kementerian itu akan terus mempromosikan produk Halal Malaysia di GCC.

Ia meliputi inisiatif promosi ke Oman dan Qatar, yang membabitkan agensi kerajaan dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan, teknologi maklumat dan komputer serta pembangunan hartanah, yang dijadualkan April ini.

Sementara itu, eksport produk Halal Malaysia melonjak 53.24 peratus kepada RM35.4 bilion tahun lepas berbanding eksport bernilai RM23.1 bilion yang direkodkan pada 2010.

Beliau berkata, sektor ramuan Halal mendahului eksport dengan RM12.3 bilion, diikuti makanan dan minuman (RM11.9 bilion), derivatid minyak sawit (RM7 bilion), kimia industri (RM2 bilion), kosmetik dan dandanan diri (RM1.8 bilion) dan farmaseutikal (RM290 juta).

Lima destinasi utama eksport Halal Malaysia ialah China, Amerika Syarikat, Singapura, Belanda dan Jepun, katanya.

Mengenai pelaburan, beliau berkata, RM625.1 juta dilabur dilima taman Halal di seluruh negara. - BERNAMA

Artikel Lain