suria

IATA Gesa Kerajaan Pertimbang Ringankan Beban Kos Syarikat Penerbangan

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menggesa kerajaan Malaysia mempertimbang untuk mengurangkan beban kos yang ditanggung oleh syarikat penerbangan yang beroperasi di negara ini, khususnya dengan menarik balik kenaikan caj mendarat dan parkir yang dirancangkan pelaksanaannya pada 2013 dan 2014.

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tony Tyler, berkata memandangkan unjuran pertumbuhan trafik yang dijangkakan bagi 2012, serta kenaikan caj tahun lepas, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dijangka masih boleh meraih untung.

"Penyusunan perkhidmatan kawalan trafik yang dirancangkan tidak seharusnya mengakibatkan kenaikan kos yang drastik dan mendadak bagi syarikat penerbangan," katanya pada satu sesi meja bulat media pada Simposium Kargo Dunia di sini, Selasa.

Sebarang pembiayaan bagi Sistem Maklumat Awal Penumpang di lapangan terbang Malaysia, katanya, haruslah daripada belanjawan negara dan bukan dikenakan ke atas industri.

"Meskipun kenaikan caj lapangan terbang yang diumumkan pada 2011 mungkin memberikan kesan negatif kepada industri, namun kami menghargai penangguhan pelaksanaannya selama dua tahun, walaupun ia diluluskan pada 2009, memandangkan keadaan ekonomi yang lemah ketika itu," kata Tyler.

Beliau berkata Malaysia telah berjaya dalam industri penerbangan kerana ia berdaya saing berbanding pesaingnya di rantau ini.

"Kami juga sedang berunding dengan pengendali lapangan terbang lain di seluruh dunia mengenai isu-isu berkaitan caj lapangan terbang," katanya.

Sementara itu, Tyler menekankan pentingnya biofuel yang lestari dalam industri penerbangan.

Kata beliau, Malaysia mempunyai industri biofuel berasaskan minyak sawit yang kukuh. "Saya menggalakkan kerajaan mempertimbang langkah-langkah dasar yang menghapuskan risiko bagi pelaburan yang diperlukan untuk meningkatkan projek-projek biofuel penerbangan komersial berasaskan sumber-sumber lestari, seperti sisa buangan bandar, alga, jatropha dan camelina," katanya.

Mengenai Skim Perdagangan Pelepasan Kesatuan Eropah (EU ETS), Tyler berkata satu deklarasi yang menggesa supaya dicari satu penyelesaian global melalui Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan menggariskan tindakan-tindakan yang boleh diambil jika Eropah meneruskan tindakan unilateral dan luar bidang kuasanya, telah dikeluarkan.

"Tiada siapapun mahukan perang perdagangan. Itulah sebabnya kita beri tumpuan kepada ICAO, tempat kerajaan bermesyuarat untuk membincangkan penyelesaian global bagi industri pengangkutan udara.

"Malaysia adalah antara 24 negara yang menghadiri mesyuarat di Moscow baru-baru ini untuk membincangkan langkah-langkah balas," katanya. Beliau berkata pendekatan Eropah untuk melibatkan penerbangan antarabangsa dalam ETSnya dari awal tahun ini, mencetuskan perpecahan pada saat-saat perpaduan diperlukan.

"Negara-negara bukan Eropah menganggap hasrat mengenakan cukai ke atas syarikat penerbangan bukan EU kerana pelepasan karbon di wilayah bukan milik EU, sebagai mencabul kedaulatan negara-negara ini," tegas Tyler. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain