suria

Diesel, Lori Antara Barangan Dirampas Di Kuching

SIBU: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Sarawak dan polis merampas barangan bernilai kira-kira RM150,000 dalam serbuan di premis perniagaan di Bintawa, Kuching, pada Isnin.

Pengarahnya Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata barangan itu termasuk 37,000 liter diesel bernilai kira-kira RM67,000, tiga van, sebuah lori dan dua pam enjin, kesemuanya bernilai kira-kira RM80,000.

"Pemilik premis itu ialah peniaga berumur 29 tahun yang tidak mempunyai lesen untuk menyimpan bahan bakar itu, yang merupakan kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat kepada kira-kira 300 pengusaha pengangkutan dan pusat jualan dari Sibu dan Sarikei yang terbabit dalam projek penyeragaman harga barang di sini, Selasa.

"Ini merupakan rampasan diesel terbesar setakat tahun ini. Tahun lepas , kami merampas barangan bernilai kira-kira RM200,000 meliputi diesel dan barangan lain di Miri," katanya.

Dalam ucapannya sebelum itu, Wan Uzir mengingatkan pengusaha supaya memastikan barangan bersubsidi sampai kepada kumpulan sasaran di kawasan luar bandar.

Terdapat 323 pengusaha pusat jualan yang memberi khidmat kepada 40 kawasan di Sibu sahaja.

"Daripada jumlah itu, 113 terbabit dalam pengedaran barangan perlu, 160 bagi gas cecair asli dan 50 bagi bahan bakar (diesel/petrol)," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain