suria

Aset Pertahanan Negara Diselenggara Secara Sistematik - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Semua aset pertahanan negara diselenggara secara sistematik dan tahap kesiapsiagaannya sentiasa dipantau oleh Jawatankuasa Panglima-Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Selasa.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ATM sentiasa memastikan aset-aset dan teknologi pertahanan negara diselenggara mengikut jadual agar mampu menjangkau jangka hayat yang dikehendaki dan sedia diaturgerak sekiranya kedaulatan negara terancam.

Katanya, terdapat dua variasi senggaraan dalam ATM iaitu pembaikan dalaman berjadual dan juga senggaraan secara penyumberan luar oleh syarikat terpilih yang dikendalikan oleh anggota berkepakaran tinggi.

"Sebagai contoh, kerajaan telah memeterai kontrak senggaraan secara sokongan dalam perkhidmatan dengan syarikat Boustead DCNS Naval Corporation Sdn Bhd untuk tempoh enam tahun memandangkan kekurangan jurutera tempatan yang berkepakaran dalam bidang kapal selam.

"Kontrak ini meliputi semua keperluan selenggaraan, pembekalan alat ganti, latihan selenggaraan dan khidmat pakar jurutera asing," katanya pada sesi soal jawab di Parlimen di sini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ismail Abdul Muttalib (BN-Maran) yang mahu tahu bagaimana aset-aset berharga negara yang terdiri daripada kelengkapan perang seperti kapal laut, kapal selam dan kereta kebal mendapat penjagaan yang sempurna.

Menjawab soalan tambahan Dr Tan Seng Giaw (Dap-Kepong) mengenai jumlah aset Kementerian dan peruntukan penyelenggaraan aset tersebut setiap tahun, Ahmad Zahid berkata beliau akan menjawab soalan itu secara bertulis.

Bagaimanapun, katanya, sejumlah RM1 bilion digunakan untuk menyelenggara dan menaik taraf aset tertentu.

"Saya yakin jumlah itu dapat dikurangkan apabila latihan secara intensif dapat dilakukan termasuklah menyediakan pegawai dan anggota dengan latihan lanjutan. Jadi tak perlu bergantung kepada sumber luar," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain