suria

Polis Rampas 221 Keping Cek Kembara Palsu Dari Dua Pelancong Asing

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua pelancong warga asing serta merampas 221 keping cek kembara bernilai RM82,000 dalam mata wang dolar Amerika (USD), pound British dan Euro yang dipalsukan, Ahad lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh berkata lelaki Jerman berusia 51 tahun dan lelaki Filipina, 65 tahun, ditahan ketika cuba menunaikan enam cek kembara dengan nilai US$100 setiap satu di sebuah bank di KL Sentral di sini pada pukul 1 tengah hari.

Katanya pihak bank berkenaan menghubungi polis selepas mencurigai kesahihan cek kembara itu yang telah diubah suai.

"Pemeriksaan terhadap seorang daripada mereka mendapati lima lagi keping cek dengan nilai sama sebelum polis menahan mereka," katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Kuala Lumpur, di sini, Jumaat.

Amar Singh berkata susulan penahanan itu, kedua-dua rakan itu membawa polis ke tempat penginapan mereka di sebuah hotel di Jalan Raja Laut di sini sebelum menemui 210 lagi keping cek kembara dalam mata wang USD, Pound dan Euro.

"Di hotel itu juga, kita temui pelbagai alatan yang disyaki digunakan untuk membuat pengubahsuaian cek kembara termasuk gam, gunting, kepingan nombor-nombor yang dipotong kecil (untuk nombor siri), tiga keping pasport pelbagai negara dan wang tunai RM2,300," katanya.

Beliau berkata mereka, yang kini ditahan reman, difahamkan pernah menggunakan cek kembara palsu itu di beberapa negara ASEAN termasuk Vietnam dan Indonesia. - BERNAMA

Artikel Lain