suria

Lucu Betul Bila Ada Cadangan Minta K'jaan Perkenal Garis Panduan Bezakan Bomoh Palsu & Bomoh Tulen...

ADALAH sesuatu yang agak melucukan apabila membaca berita yang dilaporkan oleh Agensi Berita Nasional (Bernama) pada Khamis (8 Mac)berhubung saranan oleh seorang pengamal perubatan tradisional agar kerajaan memperkenalkan satu garis panduan untuk membezakan bomoh tulen dengan bomoh palsu.

Ini kerana penulis tertanya-tanya sejak bila pula wujudnya bomoh tulen dalam tatacara perubatan di dalam negara kita.

Bomoh sama ada tulen atau palsu tidak pernah dapat dibezakan oleh masyarakat di negara kita sejak zaman berzaman atau sejak turun temurun lagi.

Segala-galanya bergantung kepada kepercayaan seseorang individu itu terhadap bomoh.

Maka itu apabila Kementerian Kesihatan digesa supaya memperkenalkan garis panduan jelas yang dapat membezakan antara bomoh tulen dan palsu oleh Pengerusi Eksekutif Pusat Rawatan Yashfien Herbs Sdn Bhd, Datuk Engku Ansaruddin Agus, ia adalah sesuatu yang agak melucukan.

Garis panduan berkenaan kata Engku Ansaruddin haruslah dirumuskan segera bagi melindungi kepentingan pesakit-pesakit yang ingin mendapatkan khidmat bomoh tulen.

"Tindakan tersebut perlu untuk memastikan segelintir bomoh tidak bertauliah tidak mencemarkan nama baik keseluruhan bomoh-bomoh yang lain," katanya dalam program "Dalam Radar" terbitan Bernama Radio24 semalam.

Engku Ansaruddin berkata Kementerian Kesihatan boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa agama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengenal pasti identiti bomoh-bomoh yang dimaksudkan itu.

"Apa saya katakan ini adalah satu fakta yang perlu diketahui oleh masyarakat. Saya gesa kepada masyarakat agar tidak tersilap langkah dengan berjumpa bomoh-bomoh palsu," katanya.

Pengarah Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari, Kementerian Kesihatan, Dr Goh Cheng Soon kemudian dipetik oleh Bernama sebagai berkata, sebarang amalan atau rawatan tradisional yang ingin dijadikan sebagai sebahagian daripada rawatan dalam sesebuah hospital kerajaan harus mempunyai bukti-bukti saintifik terlebih dahulu.

Beliau berkata pengamal-pengamal yang akan bertugas dalam unit perubatan tradisional itu perlu memiliki kelayakan tertentu yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Pertanyaan penulis ialah, kelayakan yang macamana yang diperlukan untuk melayakkan seseorang bomoh mendapat sijil kelayakan pengamal?

Mungkin penulis wajar menghantar wartawan mStar untuk pergi menyiasat dan mendapatkan maklumat ini. Alahai...

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain