suria

Lima Ditahan, Polis Temui Dadah Bernilai RM50,000

SEREMBAN: Polis menahan lima individu termasuk seorang wanita dalam serbuan di dua lokasi termasuk sebuah hotel di sini semalam dan menemui dadah jenis heroin dan syabu yang dianggarkan bernilai RM50,000. Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Superitendan Saiful Azly Kamaruddin berkata, polis bertindak menyerbu rumah dua tingkat berkenaan untuk pemeriksaan, kira-kira pukul 4.45 pagi.

"Pemeriksaan kemudian mendapati dua lelaki berada di ruang tamu dan menemui 12 peket plastik lutsinar dengan berat masing-masing 10 gram disyaki mengandungi dadah jenis syabu dan dua peket (mengandungi) syabu seberat 7.05 gram. Selain itu, 32 peket plastik seberat 50.02 gram disyaki mengandungi bahan haram yang dipercayai heroin dijumpai di tingkat atas rumah terbabit," katanya di sini, Khamis.

Katanya, hasil siasatan ke atas suspek membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki yang 'dipancing' supaya datang ke rumah itu dan turut merampas dadah disyaki heroin seberat 58.4 gram.

"Tidak lama kemudian, kira-kira pukul 9 pagi, polis yang memperoleh maklumat terbaru bertindak menyerbu sebuah hotel bajet di daerah ini dan menahan sepasang kekasih.

"Sebanyak 12 peket dadah disyaki heroin seberat 562 gram turut ditemui bersama wang tunai berjumlah RM1,200," katanya.

Saiful Azly berkata, hasil siasatan mendapati semua lelaki berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau.

"Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 39A dan 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain