suria

Selesai Konflik Kedah Bukti PAS Mampu Tadbir Negara

KUALA LUMPUR: Konflik yang melanda kepimpinan negeri Kedah yang berjaya diselesaikan oleh PAS Pusat membuktikan parti itu mampu untuk mentabir kerajaan, kata Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz.

Beliau yang dipetik dalam portal Harakah Daily sebagai berkata, pihaknya menyifatkan keputusan yang dibuat oleh kepemimpinan PAS Pusat adalah suatu keputusan yang terbaik dan menguntungkan semua pihak.

“Bagi kami, apa yang berlaku di Kedah adalah umpama perselisihan faham yang berlaku dalam sebuah keluarga. PAS Pusat ibarat ayah yang berjaya mendamaikan persengketaan antara adik beradik.

“Penyelesaian konflik ini menunjukkan PAS sememangnya matang dan mampu untuk mentadbir kerajaan apabila berjaya mencapai kata sepakat dengan kerukunan dan penuh adab,” katanya.

Beliau mengulas mengenai tindakan dua Exco Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh yang menerima kembali jawatan itu sebagaimana diputuskan PAS Pusat pada Isnin.

Mohamad Sohaimi berkata, rakyat melihat pemimpin PAS mampu duduk semeja, bersikap berlapang dada dalam menangani sesuatu konflik yang berlaku.

Katanya, konflik yang berlaku adalah suatu perkara biasa yang dihadapi oleh mana-mana organisasi.

Beliau menambah, apa yang penting adalah bagaimana penyelesaian dapat dibuat bagi mengatasi konflik yang berlaku dan PAS membuktikan mampu menyelesaikan konflik itu dengan baik.

“Sesungguhnya, pemimpin PAS membuktikan mereka tidak berebutkan jawatan, pangkat, harta atau kedudukan seperti yang ditohmah oleh sesetengah pihak.

“Pemimpin PAS juga tidak meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan jemaah sepertimana yang berlaku kepada pemimpin parti-parti politik lain.

“Kami percaya, isu ini mampu mengeratkan pertautan ukhwah serta semangat juang di kalangan ahli dan jentera parti di Kedah bahkan di seluruh negara serta mampu mengukuhkan lagi kedudukan PAS Kedah di bawah kepemimpinan YAB (Yang Amat Berhormat Menteri Besar) Datuk Seri Azizan Abdul Razak,” katanya.

Artikel Berikut

103 GRO Ditahan

Artikel Lain