suria

Phahrolrazi, Dr Ismail Diarah Terima Semula Jawatan

ALOR SETAR: Selepas bermesyuarat hampir lima jam Sabtu lalu, pemimpin PAS yang memberontak Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi dan Dr Ismail Salleh diarahkan oleh Jawatankuasa PAS Pusat untuk menerima jawatan yang disandang mereka sebelum ini.

Phahrolrazi dan Dr Ismail mahu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak diarahkan bercuti tetapi permintaan itu ditolak oleh jawatankuasa itu yang menyaksikan mesyuarat berakhir pada pukul 3 pagi, Sabtu lalu.

Bagaimanpun, The Star difahamkan bahawa Phahrolrazi masih enggan menerima pelantikan semula sebagai exco dan menolak keputusan yang dibuat dalam mesyuarat di Mentaloon, dekat sini.

Difahamkan, beliau ingin terlebih dahulu mendapatkan pandangan daripada Dewan Ulama PAS Kedah sebelum menerima syarat ditetapkan.

Azizan pula dikatakan mendapat sokongan daripada PAS Pusat.

Phahrolrazi turut mahu bertemu dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

"Jadi, kami tidak tahu apa permainan yang cuba dilakukan oleh Phahrolrazi," katanya kepada The Star.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, keputusan Jawatankuasa PAS Pusat akan diumumkan dalam tempoh 24 jam.

"Kami masih perlu mengenal pasti jalan penyelesaian terbaik sebelum membuat pengumuman kepada media," katanya.

Kemelut Kedah bermula apabila Phahrolrazi dan Dr Ismail menghantar surat kepada Azizan pada 20 Februari lalu yang menyatakan mereka enggan menerima pelantikan semula sebagai exco yang tamat, minggu ini.

Kedua-duanya tidak hadir ketika mengangkat sumpah jawatan bagi sesi 2012 di hadapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, di Alor Setar, Kedah Selasa lalu.

Phahrolrazi yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Kedah memberi kata dua kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Anak Bukit, Amiruddin Hamzah supaya melepaskan jawatan exco walaupun sudah mengangkat sumpah jawatan.

Sebaik saja perkara itu sampai ke pengetahuan Jawatankuasa PAS Pusat, Amiruddin diarahkan untuk tidak mengundur diri.

Artikel Berikut

103 GRO Ditahan

Artikel Lain