suria

Khalwat: Polis Tidak Siasat Jika Badrulamin Tidak Buat Laporan

KUANTAN: Polis tidak akan membuat sebarang siasatan berhubung dakwaan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Badrulamin Bahron kononnya beliau dipukul kira-kira 20 orang ketika ditangkap atas dakwaan berkhalwat baru-baru ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata sebarang siasatan hanya dilakukan jika pengadu membuat laporan polis.

"Namun jika beliau (Badrulamin) tidak mahu membuat laporan polis, itu terpulang kepadanya," katanya ketika dihubungi di sini, Rabu.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata pihak polis hanya menerima laporan daripada Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) berhubung tangkapan khalwat pemimpin PKR itu.

Pihak polis menerima laporan tangkapan khalwat terhadap individu terbabit yang dibuat Jaip pada 25 Feb lepas, di Balai Polis Beserah di sini pada pukul 10.28 pagi.

Sementara itu, pihak pengurusan hotel yang diserbu Jaip berhubung kes khalwat pemimpin terbabit bersedia memberi kerjasama dengan pihak berkuasa jika ia dapat membantu siasatan kes itu.

Menurut jurucakap hotel berkenaan, pihaknya tidak mempunyai masalah jika pihak berkuasa ingin mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Rakaman CCTV memang boleh diberikan tetapi perlulah mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak hotel," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain