suria

Polis Tumpas Geng Pecah Rumah

GEORGETOWN: Polis percaya dapat menumpaskan satu kumpulan penjenayah pecah rumah apabila tiga anggotanya - seorang lelaki dan dua wanita - ditahan di Kuala Lumpur pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Superitendan Gan Kong Meng berkata, ketiga-tiga mereka berumur 20 dan 33 tahun itu yang menetap di Kuala Lumpur dipercayai terbabit dengan kegiatan pecah rumah di sekitar Pulau Pinang sejak empat bulan lepas.

Katanya, sepasukan polis dari unit khas Ibu Pejabat Daerah (IPD) Timur Laut telah menjejaki ketiga-tiga perompak terbabit di Kuala Lumpur sebelum menyerbu sebuah kondominium mewah di Cheras pada Jumaat lepas.

"Dalam serbuan itu polis turut merampas wang tunai, laptop pelbagai jenama, jam tangan, kamera DSLR bernilai lebih RM100,000 dan menyita dua buah kereta mewah yang dipercayai digunakan untuk merompak," kata beliau.

Hasil siasatan mendapati kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Gan berkata, identiti perompak terbabit telah dikenal pasti dengan kesan cap jari yang ditemui di sebuah rumah yang dirompak di Sunny Villa, Sungai Nibong pada 10 Februari lepas.

"Kita percaya seorang lagi suspek lelaki berusia 22 tahun masih bebas dan yakin dapat memberkasnya dalam masa terdekat kerana ketiga-tiga rakannya telah memberi petunjuk kepada polis," katanya.

Beliau berkata, dengan penangkapan tiga anggota kumpulan terbabit, polis percaya dapat menyelesaikan 17 kes pecah rumah yang dilaporkan di sekitar Sungai Nibong, Pulau Tikus dan Tanjong Tokong di sini yang melibatkan kerugian lebih RM2 juta. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan didenda. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain