suria

Pegawai Kastam Dipenjara Lima Tahun, Denda RM2,000 Kerana Menyamun

ALOR SETAR: Seorang pegawai kastam dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM2,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini Selasa setelah didapati bersalah menyamun seorang lelaki dua tahun lalu.

Hakim Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Bidin Hamid, 50, setelah mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan kes.

Bidin dituduh melakukan samun wang tunai RM300 terhadap seorang lelaki dalam sebuah kereta jenis Myvi di tepi jalan hadapan Sekolah Menengah Agama Hidayah Islamiah, Batu 10 Alor Biak, Sungai Korok dekat sini kira-kira pukul 8 malam pada 26 Nov 2010.

Dia yang kini bertugas sebagai pengawal keselamatan setelah digantung kerja, dituduh mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 14 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Rizal Fadzil, manakala Bidin diwakili peguam P.V.K Dasaratharaj.

Sementara menunggu keputusan rayuan, hakim membenarkan Bidin diikat jamin RM8,000 dan hukuman penjara terhadapnya ditangguhkan, manakala denda RM2,000 perlu dibayar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain