suria

Jingga 13 Dakwa Punya Bukti Kapal Israel Berlabuh di Pelabuhan Klang

PETALING JAYA: Aktivis yang dikenali sebagai Jingga 13 pada Isnin mendakwa kapal Zim Atlantic yang dimiliki oleh Zim Intergrated Shipping Services Ltd, dilaporkan berlabuh di Westport, Pelabuhan Klang pada 16 Februari lalu.

Koordinator kumpulan berkenaan, Fariz Musa turut mendedahkan beberapa dokumen termasuk ‘sailing clearance’ (kebenaran belayar) dan dokumen penerimaan ejen penghantaran yang disahkan Kastam Diraja Malaysia.

"Dagangan ini menyumbang kepada ekonomi Israel, dan kami percaya bahawa Malaysia telah menyumbang wang yang digunakan untuk membeli peluru yang membunuh rakyat Palestin," katanya pada sidang media di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada, Isnin.

Fariz turut menayangkan rakaman video telefon pintar kehadiran dua kapal kargo, Zim USA dan Zim Atlantic di Pelabuhan Klang.

“Zim USA dan Zim Europa belayar terus dari Pelabuhan Ashdod, dipercayai kapal milik Zim turut belayar ke pelabuhan di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, badan bukan kerajaan (NGO) itu memiliki bukti berbentuk ‘sailing clearance’ (kebenaran belayar) Israel yang diserahkan kepada Jabatan Kastam.

“Persoalannya, kenapa ada hubungan dagang? Polisi tak jelas. Dasar kerajaan patutnya tidak mewujudkan sebarang hubungan diplomatik. Apakah ini satu pengiktirafan kepada kerajaan haram Israel?” katanya.

Fariz akan mengetuai perhimpunan di Pelabuhan Klang pada 22 Februari di Pelabuhan Klang bagi membantah kehadiran sebuah lagi kapal milik Zim iaitu Zim Europa.

Artikel Sebelum

Artikel Lain