suria

Peniaga Dipenjara 30 Bulan, Denda RM12,000 Sebabkan Kematian Rakan

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga pada Khamis dihukum penjara 30 bulan dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Trafik di sini selepas didapati bersalah kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian rakannya, tiga tahun lepas.

Majistret Parvin Hamidah Natchiar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap B. Pragash, 26.

Mahkamah turut memerintahkan supaya lesen memandu tertuduh digantung selama tiga tahun.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.

Mengikut pertuduhan, Pragash dituduh memandu kereta dengan melulu sehingga menyebabkan kematian Azhar Iskandar Hon Kok Hin, 28, di KM4.2 Lebuhraya Sprint pada pukul 11.45 pagi, 27 Dis 2009.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM20,000.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ooi Chean Ling memanggil tujuh saksi manakala pembelaan yang diwakili peguam M. Mathavan hanya mengemukakan seorang saksi iaitu tertuduh. - BERNAMA

Artikel Lain