suria

Rumah Kedai Terbakar: Keluarga Kerugian RM60,000

JITRA: Sebuah keluarga kerugian RM60,000 dan tinggal sehelai sepinggang setelah rumah kedai tiga pintu milik mereka hangus dijilat api dalam kejadian di Pida 4, Tunjang dekat sini, 12.30 tengah hari, Sabtu.

Khairul Azhar Muhammad, 27, berkata rumah kedainya itu yang menempatkan kedai runcit, kedai makanan dan juga kediaman adalah tempat beliau sekeluarga mencari rezeki sejak empat tahun lepas.

"Semasa kejadian saya berada di rumah. Api bermula dari bilik bapa saya, Muhammad Abdullah, 64, yang merebak dengan cepat memusnahkan keseluruhan rumah kedai separuh kayu dan separuh batu. "Saya cuba memadamkan api dengan air namun api sangat marak sehingga kami tidak dapat menyelamatkan barangan dan dokumen-dokumen penting milik ahli keluarga," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian, pada Sabtu.

Khairul Azhar berkata kebakaran itu turut memusnahkan sebuah motosikal miliknya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Hasbullah Mat Isa berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada pukul 12.39 tengah hari dan tiba di tempat kejadian empat minit kemudian.

Dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jitra dan Alor Setar dengan 13 anggota berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya pada 2.05 petang menggunakan air dari sungai berhampiran, katanya.-BERNAMA

Artikel Lain