suria

Terima Kasih PM Kerana Lulus Peruntukan Untuk Kuil Hindu - Palanivel

KUALA SELANGOR: Presiden MIC, Datuk Seri G.Palanivel pada Jumaat mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana meluluskan peruntukan lebih RM8.1 juta untuk kuil Hindu di negara ini.

Beliau berkata, Perdana Menteri juga meluluskan lebih RM1.5 juta untuk pertubuhan bukan kerajaan kaum India.

"Ini merupakan permulaan baik bagi kuil Hindu dan NGO India tahun ini kerana sejumlah besar peruntukan telah diluluskan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan peruntukan itu kepada kuil Sri Maha Mariamman di Ladang Raja Musa, di sini.

Beliau berkata, kedua-dua peruntukan itu adalah sebahagian daripada sejumlah RM10 juta yang diluluskan oleh Perdana Menteri.

Palanivel, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, semua kuil sepatutnya menumpukan terhadap aktiviti kebajikan, memperkasakan golongan miskin dan pendidikan.

Beliau berkata, jawatankuasa pengurusan kuil juga sepatutnya melabur dalam rumah kedai atau membeli tanah.

"Jika mereka mahu membelanjakan RM1 juta bagi pembangunan kuil, mereka sepatutnya memperuntukkan sekurang-kurangnya RM400,000 untuk pelaburan," katanya.

Pada majlis itu, Palanivel menyampaikan lebih RM262,000 untuk pembinaan kuil itu yang dijangka siap Disember tahun ini.

Beliau berkata, peruntukan itu meliputi RM212,000 daripada Jabatan Perdana Menteri dan bakinya RM50,000 daripada peruntukannya sendiri.

"Saya juga akan menyumbang sebanyak RM50,000 lagi bagi pembinaan kuil apabila upacara pentahbisannya diadakan pada Disember," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain