suria

Mahkamah Benarkan Zainul Rijal Mewakili Anak Ketua Menteri Sarawak

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Selasa membenarkan peguam syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mewakili anak Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, dalam kes tuntutan mutaah RM100 juta yang difailkan bekas menantunya.

Ketua Hakim Syarie Muhammad Abdullah membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam Abdul Halim Bahari dan peguam Roslizam Rahim yang mewakili Zainul Rijal selaku responden dalam kes.

Peguam Dr Mohd Rafie Mohd Shafie mewakili bekas menantu Ketua Menteri Sarawak, Shahnaz Abdul Majid. Selain Zainul Rijal, peguam Saadiah Din juga mewakili Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib, 49.

Terdahulu, Shahnaz, 49, melalui peguamnya mengemukakan bantahan kepada mahkamah mengenai status Zainul Rijal yang merupakan anggota Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), yang dibimbangi akan berlaku konflik kepentingan jika beliau mewakili Mahmud Abu Bekir.

Dalam penghakimannya, Muhammad berkata peranan Zainul Rijal dalam MAIWP dan sebagai peguam kepada Mahmud Abu Bekir adalah dua entiti berbeza.

Katanya, MAIWP tidak berperanan secara langsung menguruskan pelantikan hakim syarie sebaliknya MAIWP hanya sebagai pihak dirunding sahaja.

"Saya bersetuju ketika saya sebagai Hakim Bicara dilantik, responden belum lagi menjadi anggota MAIWP dan tidak langsung terlibat ketika rundingan pelantikan tersebut dilakukan," kata Muhammad.

Beliau berkata mahkamah berpuas hati bahawa Zainul Rijal tidak melakukan tindakan yang tidak profesional dan tidak melanggar serta menyalahi etika peguam syarie yang ditetapkan dalam amalan mahkamah syariah.

"Saya sebagai Hakim Bicara kes ini tidak menerima apa-apa gangguan daripada pihak atasan atau pihak MAIWP berkaitan kes ini dan kes-kes lain yang melibatkan responden mewakili anak guamnya di hadapan saya, sejak responden dilantik sebagai anggota MAIWP," katanya.

Bagaimanapun, permohonan lain yang difailkan Shahnaz, iaitu permohonan notis tunjuk sebab terhadap bekas suaminya yang didakwa telah mengingkari perintah mahkamah serta permohonan anak sulung kepada Ketua Menteri Sarawak itu untuk mengenepikan notis tunjuk sebab itu, akan diputuskan 12 Mac ini.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Zainul Rijal kelihatan gembira dengan keputusan itu yang sekaligus membersihkan nama serta kedudukannya selaku peguam syarie.

Shahnaz, kakak kepada Ratu Jazz negara Datuk Sheila Majid, turut memfailkan tuntutan harta sepencarian berjumlah RM300 juta terhadap Mahmud Abu Bekir.

Pada 5 Ogos tahun lepas, Shahnaz mendapat kebenaran memulakan prosiding tunjuk sebab terhadap Mahmud Abu Bekir mengapa bekas suaminya itu tidak boleh dikenakan tindakan setelah didakwa mengingkari perintah mahkamah.

Pada 11 Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi Syariah mengesahkan perceraian talak satu Mahmud Abu Bekir dengan Shahnaz. Pasangan itu yang berkahwin pada 9 Jan 1992, dikurniakan seorang anak lelaki, Raden Murya, 19. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain