suria

Punca Kematian Dua Bayi Di Pusat Jagaan Belum Dapat Disahkan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan belum dapat mengesahkan laporan media mengenai jangkitan bakteria sebagai punca kematian dua bayi di pusat jagaan kanak-kanak di Taman Permata, Ampang dekat sini Khamis lepas.

Namun ia tidak menolak kemungkinan, tersedak susu sebagai punca utama kematian mengejut itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkata, pihak Hospital Kuala Lumpur telah menjalankan post-mortem terhadap kedua-dua kes pada pukul 8 malam, pada hari kejadian.

"Pasukan kesihatan pula dihantar untuk membuat pengesan aktif di kalangan kanak-kanak yang dihantar ke pusat jagaan itu pada hari kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dr Hasan berkata, bagi kes pertama yang melibatkan bayi berumur empat bulan, bayi itu mempunyai gejala demam, batuk dan selesema sejak dua minggu lepas.

Katanya, bayi itu telah dibawa ke klinik swasta sebanyak empat kali dan diberikan rawatan antibiotik dan simptomatik.

"Ibu kepada bayi itu memaklumkan bahawa keadaan bayinya bertambah baik dan hanya mengalami batuk ringan. Bagaimanapun pada 19 Januari jam 2 petang, bayi tersebut pengsan di pusat jagaan dan dibawa ke klinik swasta untuk rawatan sebelum disahkan meninggal di klinik itu pada 2.50 petang hari yang sama," katanya.

Dr Hasan berkata, kematian kedua melibatkan bayi berusia tujuh bulan, di mana ibu kepada bayi itu memaklumkan bahawa sehari sebelum itu, anaknya hanya mengalami gejala selesema dan tidak menerima sebarang rawatan.

"Pada hari yang sama (19 Januari), selang beberapa minit daripada kes pertama, bayi itu pengsan dan dibawa ke klinik swasta yang sama dan disahkan meninggal dunia jam 3 petang," katanya.

Dr Hasan berkata, sehingga semalam, seramai 33 daripada keseluruhan 56 kanak-kanak termasuk bayi di pusat asuhan itu telah dikesan melalui aktiviti pengesan aktif. Katanya, didapati enam kanak-kanak berumur satu hingga tiga tahun mempunyai sejarah jangkitan saluran pernafasan atas tetapi kini telah sembuh.

"Hanya seorang bayi mengalami gejala selesema tetapi tidak demam. Manakala seramai 26 kanak-kanak berumur antara 4 hingga 6 tahun sihat.

"Sebagai langkah pencegahan, pusat jagaan kanak-kanak ini ditutup sementara waktu dan semburan disinfektan dilakukan sebagai pencegahan dan kawalan," katanya.

Dr Hasan berkata, sejumlah 21 sampel autopsi telah diambil bagi setiap kes dan daripada jumlah itu sehingga jam 10 pagi ini, sebanyak lapan keputusan telah diterima yang menunjukkan tiada kesan ubat-ubatan seperti paracetamol, salicylate dan benzodiazephine yang ditemui.

Katanya, ujian juga negatif bagi virus H1N1, adenovirus, Respiratory Syncytial Virus (RSV) dan denggi.

"Keputusan makmal untuk jangkitan bakteria dan beberapa bahan kimia masih belum diterima dan dijangka siap dalam tiga hari ke dua minggu dan pihak kementerian sentiasa memantau perkembangan situasi ini dan akan memaklumkan kepada orang ramai dari semasa ke semasa," katanya. Sehubungan itu, Dr Hasan menasihatkan ibu bapa yang mendapati ada di antara anak mereka kurang sihat, supaya mendapatkan rawatan awal di klinik atau hospital berdekatan.

Di samping itu, katanya, ibu bapa juga perlu menjaga sendiri anak masing-masing yang kurang sihat dan tidak menghantar mereka ke pusat jagaan kanak-kanak, selain meminta orang ramai untuk terus mengamalkan kebersihan diri dan menjarakkan diri dari tempat awam sekiranya sakit. - BERNAMA

Artikel Lain