suria

Nenek, Anak, Cucu Maut Nahas Lebuh Raya Dekat Kuala Kangsar

KUALA KANGSAR: Seorang warga emas bersama anak dan cucunya terbunuh apabila kereta yang mereka naiki melanggar bahagian belakang sebuah treler di KM 253.3 Lebuhraya Utara-Selatan di sini Jumaat.

Mangsa maut di tempat kejadian dikenali sebagai Letchumy a/p Manikan, 77, merupakan penumpang duduk di sebelah kiri pemandu, anaknya Espury a/p Apparoo, 60, dan cucunya Naren, 5, penumpang duduk di bahagian belakang.

Yang cedera parah pemandu kereta itu S. Ambiggan, 26, Maruthayee a/p Apparoo, 53, dan S. Veneswaran, 11. Pemandu lori yang berumur 57 tahun itu tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Superitendan Abdul Gaffar Mohamad berkata, dalam kejadian pada 1.15 pagi tadi, keluarga itu dalam perjalanan dari Sungai Besi, Kuala Lumpur ke Butterworth. "Semasa kejadian hujan renyai dan jalan licin serta kawasan tempat kejadian berbukit. Treler yang membawa gulungan plat besi berada di sebelah kiri jalan dan dalam keadaan perlahan kerana jalan di situ berbukit.

"Tiba-tiba pemandu treler terdengar bunyi dentuman dari arah belakang dan memberhentikan kenderaannya dan mendapati sebuah kereta telah langgar belakang lorinya," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan. Bedah siasat ke atas mangsa yang terbunuh telah dijalankan di Hospital Kuala Kangsar pada 10 pagi tadi manakala mereka yang cedera dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.

Anggota polis Kpl A. Maniveran, 32, anak kepada Letchumy berkata, beliau bersama ibu, adik-beradik dan saudara yang lain dalam perjalanan dari Sungai Besi kerana menghadiri majlis perkahwinan seorang kakaknya.

"Kami menaiki kereta berasingan, saya sampai dulu di Ipoh. Apabila terima berita kejadian ini daripada adik, saya terus ke tempat kejadian," katanya yang bertugas sebagai anggota polis di Ipoh.

Maniveran berkata, beliau tidak menyangka mengangkat mayat ibu dan adik-beradik sendiri.

"Sebelum ini saya mengangkat mayat orang lain, kali ini tak sangka saya angkat mayat anggota keluarga saya sendiri," katanya. Menurut Maniveran, kata-kata terakhir Espury, kepadanya ialah memberi pesanan supaya berhati-hati ketika memandu.

"Akak saya anak sulung daripada lapan beradik. Dia memang rapat dengan saya, saya takkan lupa pesanan terakhir dia untuk saya," katanya.

Dalam kejadian kemalangan berasingan, seorang pembantu restoran terbunuh apabila kereta yang dinaikinya terbabas dan melanggar penghadang jalan di KM 67 Jalan Gerik-Kuala Kangsar.

Ketika kejadian kira-kira pukul 9 pagi tadi, Mohd Fadzli Shuib, 31, berasal dari Lubuk Merbau, Kuala Kangsar, dalam perjalanan dari Sauk ke Lubuk Merbau.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian," kata Abdul Gaffar. - BERNAMA

Artikel Lain