FMM Mahu Pindaan Pengambilan dan Pemberhentian Pekerja Dipercepat - Semasa | mStar

FMM Mahu Pindaan Pengambilan dan Pemberhentian Pekerja Dipercepat

KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menyeru Kementerian Sumber Manusia supaya mempercepat pindaan terhadap undang-undang kerja bagi mewujudkan satu undang-undang yang adil dalam mengambil dan memberhentikan pekerja.

Naib Presiden FMM Raja Datuk Abdul Aziz Raja Muda Musa berkata ini merupakan satu isu yang telah lama berlarutan dan majikan mahu ketegaran dalam undang-undang berhubung isu memberhentikan pekerja mengikut syarat dan terma lantikan dilonggarkan.

"Undang-undang juga perlu jelas, ringkas dan mudah difahami. Undang-undang juga perlu cukup fleksibel untuk kekal relevan dengan peralihan masa dan harus mampu menggalakkan pertumbuhan produktiviti dan budaya kerja yang baik," katanya semasa merasmikan seminar FMM bertema "Pindaan kepada Akta Kerja 1955 & Peruntukan Baharu Mengenai Gangguan Seksual" di sini, Khamis.

Para majikan percaya pindaan undang-undang berkaitan dengan proses pengambilan dan pemberhentian pekerja di sektor swasta merupakan satu langkah tepat dalam meningkatkan produktiviti serta kecekapan.

Lagi pun, dasar pemberhentian fleksibel bagi kakitangan awam yang gagal menunjukkan prestasi yang baik sedang dilaksanakan dalam perkhidmatan awam dan sektor swasta juga percaya mereka akan meraih manfaat dari dasar yang lebih kurang sama.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Dasar dan Antarabangsa, Kementerian Sumber Manusia Mohd Sahar Darusman yang menyampaikan ucaptama di seminar itu menunjukkan bahawa undang-undang berkaitan dengan penggajian dan hubungan perusahaan akan diperbaiki secara berterusan.

Ini selaras dengan usaha kementerian dalam memenuhi keperluan majikan dan pekerja selain menyiapkan Malaysia untuk turut serta dalam liga negara-negara berpendapatan tinggi.

Katanya 2012 akan menyaksikan fasa kedua pindaan kepada Akta Kerja 1955 dan akan mengkaji semula Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

Akta Kerja 1955 telah dipinda 11 kali sejak 1957 dengan yang terakhir diluluskan oleh Parlimen pada 22 Dis, 2011, dengan pindaan pada fasal-fasal yang berkaitan dengan kerja lebih masa, bayaran gaji, gangguan seksual, kebajikan dan cuti bersalin. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain