suria

Malaysia Tidak Pernah Pinjam Wang Untuk Pembiayaan BR1M - Nor Mohamed

TASEK GELUGOR: Malaysia tidak perlu meminjam wang dari negara lain atau Bank Dunia untuk pembiayaan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau menegaskan Malaysia masih mampu membiayai program itu menerusi dana sedia ada hasil daripada penjanaan ekonomi yang tetap kukuh.

"Negara kita masih berkemampuan," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas dakwaan pembangkang bahawa peruntukan untuk BR1M diperolehi daripada Bank Dunia.

Pada Jumaat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menegaskan sumber pembiayaan untuk program BR1M adalah daripada kekuatan ekonomi dalaman negara dan bukannya melalui pinjaman Bank Dunia.

Najib dalam kenyataannya mahu supaya rakyat tidak terpengaruh dengan fitnah serta dakyah palsu yang disebarkan oleh pembangkang kerana ternyata dakwaan tersebut merupakan dusta politik.

Kali terakhir Malaysia membuat pinjaman daripada Bank Dunia adalah pada tahun 1998 iaitu sebanyak AS$400 juta (RM1.28 bilion), kata Najib.

Nor Mohamed sebelum itu melawat dan menyampaikan bantuan berupa barang keperluan harian kepada tiga keluarga di Alor Merah, di sini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kesan ekonomi daripada perhimpunan haram "Kempen Bebaskan Anwar 901" yang dirancang di ibu negara Isnin ini, Nor Mohamed yakin pihak keselamatan mampu mengawal keadaan.

"Dari aspek persepsi pelabur asing berhubung perkara itu, saya yakin mereka tetap akan meneruskan pelaburan mereka di sini kerana selama ini mereka tidak pernah rugi apabila melabur di negara kita," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain