suria

Remaja 17 Tahun dan Ibunya Ditahan Berhubung Kes Bunuh Empat Sekeluarga Di Sibu

SIBU: Polis percaya telah dapat menyelesaikan kes bunuh empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak di Jalan RTM di sini dengan penahanan seorang remaja lelaki berumur 17 tahun dan ibunya yang berumur 44 tahun malam Khamis.

Timbalan Pesuruhjaya Polis negeri Datuk Law Heng Soon berkata remaja lelaki itu bekerja sebagai kelindan lori dan ibunya suri rumah dan mereka tinggal agak dekat dengan rumah mangsa.

"Saya gembira mengumumkan kami telah berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh empat hari selepas kejadian berlaku pada Isnin.

"Suspek dan ibunya kini berada dalam tahanan kami untuk kami mendapatkan lebih banyak maklumat untuk menyiapkan kertas siasatan," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Beliau berkata polis menahan ibu remaja itu kerana dipercayai dapat membantu dalam siasatan kes itu.

Law berkata sebaik sahaja kertas siasatan siap, ia akan diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan.

Dalam kejadian antara 7 pagi hingga 7.30 pagi itu, ahli perniagaan Ling Tong Hock, 36, ibunya Leong Nyuk Lan, 76, anak lelakinya David Ling Chei Qi, 10 dan anak perempuannya Amy Ling Zi Jiun, 7, mati akibat sama ada dipukul atau dikelar.

Seorang lagi anak Ling, Kelvin Ling Chei You, 8, masih berada dalam keadaan kritikal dan kini dirawat di Unit Jagaan Rapi Kanak-kanak di Hospital Umum Sarawak di Kuching.

Law berkata dengan penahanan dua beranak itu, isteri Ling yang merupakan warganegara China , Li Xiao Lan, 28, yang sebelum ini ditahan reman untuk siasatan selepas mengaku melarikan diri menerusi tingkap untuk pergi ke rumah jiran ketika kejadian, telah dibebaskan pada Jumaat.

Mengenai sama ada remaja lelaki itu menghidapi masalah mental, beliau berkata perkara itu sedang disiasat dan menurutnya remaja itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah mahupun penyalahgunaan dadah.

Law mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang telah memberikan maklumat untuk membantu polis menyegerakan siasatan mereka. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain