suria

Malaysia - Singapura Kaji Pembinaan Laluan Bawah Tanah

PUTRAJAYA: Malaysia dan Singapura sedang mengkaji kemungkinan mewujudkan rangkaian laluan bawah tanah di antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata satu kajian telah dibuat mencadangkan sistem aliran transit antara Johor Bahru dan Singapura dan akan diperluas dengan memasukkan cadangan ini.

Najib dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong yang bertemu pada majlis Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura, di sini, hari ini juga bersetuju untuk meneroka kawasan-kawasan lain, termasuk rancangan penjajaran frekuensi radio spektrum untuk siaran digital dan perkhidmatan jalur lebar mudah alih.

Ini sebagai memenuhi permintaan televisyen digital dan jalur lebar mudah alih yang semakin meningkat, memperbaiki perkhidmatan perayauan mudah alih serantau dan menyediakan perkhidmatan jalur lebar mudah alih yang berdaya saing.

Satu kumpulan gerak kerja baru dalam usahasama industri untuk mempromosi Iskandar Malaysia dan Singapura juga akan ditubuhkan.

Antara lain yang dibincangkan oleh kedua-dua pemimpin termasuklah kerjasama dalam perkhidmatan penerbangan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor dan Changi di Singapura.

Mereka juga berbincang mengenai kerjasama dalam pendidikan tinggi, pendidikan teknikal dan vokasional, serta pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.

Terdahulu, Najib mengalu-alukan kunjungan Lee ke Pejabat Perdana Menteri di tingkat satu, di sini, dan kedua-dua pemimpin kemudiannya ke tingkat lima untuk Pemukiman.

Pemukiman pertama seumpama ini telah diadakan pada bulan Mei 2007 di Langkawi dan kali kedua di Singapura pada bulan Mei 2010.

Artikel Lain