suria

Semua Mangsa Banjir Perlis Dijangka Pulang Lewat Petang Ini

PADANG BESAR: Keadaan banjir di utara negeri ini dijangka pulih sepenuhnya lewat pada Isnin apabila kesemua mangsa dijadual pulang ke rumah masing-masing selewat-lewatnya malam ini.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Perlis Abdullah Ali memberitahu Bernama di sini, kesemua 557 mangsa daripada 165 keluarga itu dijangka kembali ke rumah mereka sebelum senja.

"Kalau boleh kita mahu semua pulang ke rumah masing-masing sebelum malam," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan mangsa banjir di dewan Panggas Besar.

Beliau sebelum itu mengiringi lawatan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu yang datang bersama dua lagi bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh.

Mengulas kemunculannya bersama Shahidan, Md Isa berkata perkara itu membuktikan Umno Perlis bersatu, sekalipun ada suara sumbang yang mendakwa wujud perpecahan ketara dalam parti tersebut.

Sementara itu, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut meluang masa berangkat melawat mangsa banjir di utara Perlis.

Baginda berdua meluangkan masa hampir dua jam setengah meninjau keadaan banjir di Titi Tinggi Hilir, iaitu antara kampung paling teruk terjejas dalam kejadian banjir di negeri ini.

Baginda berdua juga turut melawat dan beramah mesra dengan penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsan Titi Tinggi dan dewan orang ramai Kampung Kok Mak dekat ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

16 Rumah Kedai Hangus

Artikel Lain