suria

Jenazah Bekas Presiden BSKL Selamat Disemadikan

KUALA LUMPUR: Jenazah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia) Datuk Mohd Salleh Abdul Majid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ar-Ridhuan, Hulu Kelang di sini petang Isnin.

Mohd Salleh, 62, meninggal dunia kira-kira 10.20 pagi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat barah usus dan kegagalan buah pinggang.

Jenazah tokoh ekonomi itu disemadikan kira-kira 5.30 petang sejurus selesai solat jenazah yang menyusuli solat Asar di masjid tersebut.

Antara yang menziarah jenazah Allahyarham yang dibawa ke rumah ibunya di Kampung Pasir, Hulu Kelang ialah Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang, Pengerusi Media Prima Berhad Datuk Johan Jaafar dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Abdul Rahman Sulaiman.

Turut menziarah ialah Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Zulkifli Noordin, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali dan bekas Pengurus Besar Bernama Datuk Seri Azman Ujang.

Semasa hayatnya, Allahyarham kerap ditemu bual media massa berhubung isu-isu ekonomi dan kewangan. - BERNAMA

Artikel Berikut

16 Rumah Kedai Hangus

Artikel Lain