suria

Polis Tahan Tiga Lelaki Termasuk Teman Lelaki Rozana Yusak

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki, termasuk teman lelaki Rozana Mohd Yusak, 35, wanita yang ditemui mati dengan lebih 15 kesan tikaman di rumah sewanya di Puncak Desa, Kepong 21 Dis lepas, ditahan polis pada Khamis.

Sumber polis berkata kesemua mereka berumur 19 hingga 20 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di Pantai Dalam dan Datuk Keramat.

"Dalam tangkapan pukul 8 malam sehingga 1 pagi itu, polis juga merampas sebuah komputer riba milik mangsa daripada salah seorang suspek," katanya.

Menurut sumber itu, ketiga-tiga lelaki tersebut dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang pagi ini dan direman tujuh hari sehingga 6 Jan depan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Supt Rosly Hassan ketika dihubungi Bernama mengesahkan penahanan tersebut namun enggan mengulas lanjut.

Beliau berkata sidang media mengenai kes tersebut akan diadakan pada Sabtu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor oleh Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah.

Dalam kejadian 1.30 pagi itu, Rozana ditemui berlumuran darah dengan lebih 15 kesan tikaman pada bahagian belakang badannya, di rumah sewanya di Puncak Desa, Kepong.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur. - BERNAMA

Artikel Berikut

Abdul Aziz Dipelawa Sertai PAS

Artikel Lain