suria

Polis Tahan Pasangan Kekasih Miliki Pistol Tiruan

BUTTERWORTH: Polis menahan sepasang kekasih dan merampas sepucuk pistol tiruan serta pelbagai barangan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah dalam satu sekatan jalan raya oleh Unit Peronda Elit Evolution X di Plaza Tol Sungai Dua arah Utara, di sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Zulkifli Alias berkata pasangan berusia 20-an dan berasal dari Sungai Petani, Kedah itu dan menaiki kereta jenis Proton Saga itu ditahan pada pukul 3.45 pagi selepas berada dalam keadaan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan, polis menemui sepucuk pistol mainan beserta sekotak bebola besi yang dipercayai digunakan sebagai peluru untuk pistol berkenaan dalam kereta berkenaan, katanya kepada pemberita di sini.

Zulkifli berkata polis turut menemui gari, pedang, keris, telefon bimbit dan sejumlah plastik lutsinar di dalam kereta terbabit dan dipercayai pasangan itu menggunakan untuk membungkus dadah.

Katanya berdasarkan penemuan semua barangan berkenaan polis juga tidak menolak kemungkinan pasangan itu terlibat dalam kegiatan jenayah dan pengedaran dadah.

Sementara itu, Zulkifli berkata dalam sekatan jalan raya itu, polis turut menahan dua lelaki berusia lingkungan 30-an kerana memiliki dadah jenis heroin.

Katanya polis terpaksa mengejar kereta jenis Toyota Altis yang dinaiki dua lelaki berkenaan sejauh 80 kilometer sebelum berjaya menahan mereka.

"Dua lelaki terbabit ditahan di Padang Serai, Kedah pada jam 7.15 pagi ini selepas melarikan diri dari sekatan jalan raya itu," katanya.

Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap kereta dinaiki dua lelaki terbabit polis menemui tiga paket dadah jenis heroin dan mereka kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Lain