suria

Lelaki Tetak Polis Diarah Jalani Pemeriksaan Mental

SUNGAI PETANI: Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis memerintahkan seorang lelaki dihantar ke Hospital Bahagia untuk pemeriksaan mental sebelum hukuman dijatuhkan apabila dia mengaku bersalah menyerang dan menetak seorang pegawai polis di Yan, dekat sini, Selasa lalu.

Hakim Mohammad Khalid Ab Karim mengarahkan Hashim Saad, 45, menjalani pemeriksaan di hospital berkenaan di Tanjung Rambutan, Perak, selama sebulan dan menetapkan 29 Jan depan untuk sebutan semula kes.

Ketika ditanya oleh hakim mengenai tahap kesihatan mentalnya, tertuduh mengaku mengalami sedikit masalah untuk menjawab pertanyaan itu.

Hashim didakwa secara sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Inspektor Mohd Firdhaus Zainal, 29, dengan menggunakkan sebilah parang sehingga menyebabkan empat urat di pergelangan kakinya terputus.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Gelam 2, Alor Pudak, Bukit Besar Yan, dekat sini, pada kira-kira 11 pagi, 27 Dis lalu.

Bagi pertuduhan itu Hashim didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

Dalam rayuannya, Hashim, yang tidak diwakili peguam, memohon agar hakim meringankan hukuman ke atasnya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Syazwani Syed Hussin.

Menurut laporan akhbar semalam, mangsa bersama sepasukan 12 pegawai dan anggota polis pergi ke rumah tertuduh bagi menyerahkan notis saman berkaitan kes khianat yang dipercayai dilakukan lelaki berkenaan awal tahun ini.

Bagaimanapun, tertuduh yang melihat kehadiran polis mengambil sebilah parang panjang sebelum menyerang pegawai itu serta merosakkan kenderaan polis. - BERNAMA

Artikel Lain