suria

Tahun Baru 2012 Bakal Disambut Meriah

KUALA LUMPUR: Hanya tinggal tiga hari sahaja lagi tahun 2011 bakal melabuhkan tirainya dan seperti lazim negara akan mengadakan acara sambutan tahun baru yang juga dikenali sebagai "Countdown", detik.

Sambutan yang acapkali diadakan di beberapa lokasi terpilih sekitar ibu kota kebiasaannya dimeriahkan dengan konsert artis popular tanah air serta warna-warni pertunjukan bunga api dan pelbagai acara menarik lain.

Menurut satu kenyataan i-Berhad, pemaju i-City di Shah Alam, acara Ambang Sambutan Tahun Baru 2012 akan diadakan secara besar-besaran di bandar cahaya digital i-City, Seksyen 7, Shah Alam bermula 8 malam, Sabtu ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual hadir pada sambutan acara itu, sempena Karnival 'Sayangi Selangor' anjuran Barisan Nasional (BN) Selangor yang diadakan selama empat hari bermula hari ini.

Antara acara menarik yang disediakan termasuk detik bersama Najib, pertunjukan bunga api, belon udara panas, persembahan artis antaranya Najwa Mahiaddin, Suki, Adam serta persembahan lagu 1Malaysia.

Di Dataran Shah Alam, program "Countdown 2012" akan diadakan pada Jumaat malam dengan aktiviti Solat Maghrib berjemaah, sembang santai bersama Imam Muda Ashraf, Soal Jawab Agama bersama Ustaz Azhar Idrus dan Zizan Raja Lawak.

Sementara itu, di sekitar ibu kota, Dataran Merdeka kekal menjadi lokasi tumpuan untuk acara sambutan malam tahun baru apabila Kumpulan Ambank dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menganjurkan konsert Malam Ambang Tahun Baru 2012 bermula pukul 9 malam.

Selain menampilkan artis popular tanah air seperti Datuk M. Nasir, Jamal Abdillah, Faizal Tahir, Awie, Mizz Nina, Kumpulan Hujan dan One Nation Emcees, pertunjukan bunga api juga akan diadakan pada detik pukul 12 malam.

Sementara itu DBKL memaklumkan bahawa Jalan Raja akan ditutup kepada semua kenderaan pada Jumaat ini bermula pukul 7 malam hingga 1 pagi bagi tujuan raptai.

Pada hari Sabtu, jalan tersebut akan ditutup bermula pukul 5 petang hingga 1 pagi, menurut kenyataan DBKL di sini, Rabu.

DBKL menasihatkan orang ramai yang datang ke Dataran Merdeka supaya menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalulintas serta masalah tempat letak kereta.

Lokasi lain sekitar Kuala Lumpur yang terlibat dengan sambutan malam tahun baru 2012 ialah kawasan sekitar Bukit Bintang dan Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Di negeri lain sambutan tahun baru 2012 turut diadakan dengan acara dan aktiviti masing-masing.

Menurut portal rasmi Kerajaan Negeri Melaka, Sambutan Ambang Tahun Baru 2012 akan diadakan di Menara Taming Sari pada Sabtu ini.

Antara aktiviti yang disediakan termasuklah persembahan kebudayaan, persembahan artis jemputan, konvoi 1000 Ladies Bikers, persembahan lagu-lagu patriotik serta pertunjukan bunga api.

Di Perak, program sambutan tahun baru anjuran Tango Team akan diadakan di Lost World of Tambun bermula 7.30 malam dengan bertemakan alaf 2000. - BERNAMA

Artikel Lain