suria

“Persidangan” Kaedah Baru dalam Mempromosi Pelancongan

SELEPAS Sri Lanka, pengembaran saya diteruskan ke Turki - sebuah negara yang terletak di dua buah benua yang berbeza.

Sebahagiannya terletak di pintu masuk benua Eropah dan sebahagiannya lagi di benua Asia - sehinggakan wujudnya dua buah lapangan terbang antarabangsa utama (dalam sebuah daerah) di kedua-dua buah benua ini.

Bahasa perantara masyarakat Turki adalah Turkish. Dan mengikut apa yang diberitahu, lebih kurang hampir 95% (mungkin lebih dan mungkin juga kurang) dari bahasa Turkish berasal daripada bahasa Arab.

Turki juga ada berpuluh-puluh bangsa serta etnik berbanding dengan kita di Malaysia. Sememangnya dengan kepelbagaian masyarakat, Turki sendiri tidak dapat lari dari krisis identiti berpunca dari percampuran bangsa-bangsa ini.

Ironinya, orang yang berasal dari Istanbul sebelah Eropah, sangat berbangga dengan kelebihan yang ada pada diri mereka. Mereka merasakan mereka juga setaraf dengan bangsa Eropah yang lain.

Kehidupan seharian mereka adalah seperti orang Eropah yang sebenar dan segala kemajuan dan kemodenan perlu berkiblatkan Eropah.

Doktrin sebegini telah disemai sekian lama oleh Mustafa Kamal Ataturk yang memang memberi kesan yang amat besar kepada rakyat Turki sehingga kini.

Sebagai contoh, ke mana sahaja anda pergi di zon Europah, anda akan dapat perhatikan gaya hidup yang amat berbeza dengan nilai dan tradisi ketimuran di Asia.

Ini amat menyerlah sekali dari segi pemakaian belum lagi bab pergaulan, tidak langsung mencerminkan bahawa Turki adalah sebuah negara Islam sepertimana yang dibanggakan oleh segelintir kita di sini.

Yang lebih menariknya, boleh dikatakan setiap kedai makan yang menyediakan masakan Halal ada juga menjual minuman beralkohol serta dipamerkan secara terbuka. Seolah-olah tidak ada apa silapnya di situ sedangkan di negara kita ia sudah dilihat sebagai sesuatu yang janggal.

Bagaimanapun, untuk mendirikan solat di Turki, tidak menjadi satu masalah besar, boleh dikatakan setiap kawasan yang anda lalui pasti adanya masjid.

Sedihnya, masjid yang begitu bercambah di merata ceruk gagal dipenuhi oleh masyarakat sekeliling. Ironinya, apabila azan kedengaran, hanya segelintir sahaja kelibat manusia yang meninggalkan hal duniawi untuk mengadap Ilahi.

Satu lagi perbezaan dengan suasana di Malaysia iaitu kawasan masjid seperti sesuatu yang eksklusif untuk aktiviti keagamaan tetapi di Istanbul terutamanya, kedai-kedai kopi bersama-sama dengan asap hogah begitu “mesra” sekali dengan masjid.

Boleh dikatakan masjid bagi mereka hanyalah satu ruang untuk menunaikan solat yang selebihnya harus diguna pakai sepenuhnya untuk menjana ekonomi setempat.

Tidak menjadi satu masalah jika para pengunjung kedai-kedai kopi meninggalkan seketika kerusi empuk untuk menunaikan solat berjemaah tetapi sebaliknya, seolah-olah mereka tidak pun merasa malu ataupun segan untuk terus dibuai asap hogah, ketika azan kuat berkumandang.

Kedatangan saya ke Turki adalah untuk memenuhi undangan membentangkan satu kertas kerja di sebuah persidagan antarabangsa yang berlangsung di sebuah resort yang terletak di daerah bernama Izmir.

Izmir merupakan bandar ke tiga terbesar di Turki selepas Istanbul dan Ankara. Lokasi ini terletak berhampiran dengan lautan, dengan pantai yang bersih serta nyaman, menyebabkan persidangan ini dirasakan seolah-olah direka untuk sebuah percutian yang begitu menenangkan.

Dari sini, ia hanya mengambil masa tak sampai sejam dengan menaiki kapal untuk ke negara Greece.

Persidangan Antarabangsa Sains Sosial ini dikendalikan oleh sebuah agensi pelancongan yang diberi kepercayaan penuh oleh Kerajaan Turki untuk mengatur serta menguruskan kira-kira 400 orang peserta yang datang dari setiap pelusuk dunia.

Menariknya, sepanjang tiga malam di sini dipenuhi dengan segala macam aktiviti lawatan. Kadar yang dikenakan agak berpatutan, menyebabkan ramai peserta persidangan turut serta dalam setiap aturcara yang dianjurkan.

Strategi serampang dua mata ini agak menarik apatah lagi jika ia boleh diadaptasi di negara kita.

Tambahan pula negara kita mempunyai segalanya yang diidamkan oleh ramai pelancong. Dengan mengadakan pakej sebegini sebenarnya merupakan satu pelaburan untuk menigkatkan ekonomi negara di masa hadapan.

Para peserta dapat menikmati keindahan Turki sambil bersidang, secara tidak langsung dapat menempis aura negatif seperti perasaan penat serta tidak berbaloi atas kehadiran ke sesuatu tempat.

Kaedah ini mensasarkan agar para peserta akan datang kembali ke tempat-tempat yang dipromosikan bersama kaum keluarga mereka.

Para peserta juga ditawarkan pakej-pakej khas yang begitu sukar untuk ditolak yang boleh diguna pakai dalam masa setahun dari tarikh dibeli.

Apabila difikirkan kembali, negara kita boleh sahaja menjadi hub pengajuran untuk seminar-seminar bertaraf antrabangsa. Kita juga sudah terkenal di seluruh dunia sebagai pengajur yang hebat.

Tidak ada salahnya jika selepas ini kita melibatkan pihak yang bernaung di bawah Kementerian Pelancongan untuk sama-sama berkongsi lelah penganjuran. Kerana impak terhadap kaedah ini cukup besar kepada negara kita.

Bayangkan betapa tingginya pertukaran wang asing serta perbelanjaan yang akan dikeluarkan oleh setiap peserta yang hadir.

Dalam dunia sekarang ini, kita memerlukan pemikiran berinovasi serta kreatif dalam mengharungi dunia tanpa sempadan yang penuh dengan saingan.

Setiap perkara perlu dilihat dari sudut yang berbeza, kaedah lama perlu dinilai semula agar kita tidak terus tenggelam.

Dengan itu saya menyeru, agar semua kementerian di Malaysia, mengetepikan karenah birokrasi untuk bergabung dalam menjayakan matlamat negara.

Tidak ada salahnya pengabungan ini dilakukan, jika hasilnya mendatangkan pendapatan yang lumayan kepada negara dan rakyat.

Lihat sahaja bagaimana Kementerian Pelajaran Turki bergabung dengan Kementerian Pelancongan mereka dalam menjayakan aktiviti serampang dua mata ini.

Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri merupakan bekas Honorary Fellow di Asian Institute University of Melbourne dan Adjunct di School of Philosophy, History and International Studies Monash University. Beliau merupakan pensyarah kanan di Universiti Utara Malaysia. Beliau boleh dihubungi menerusi email [email protected].

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain